Tuesday, March 30, 2010

Harapkan Pagar, Pagar Makan Padi

Sejak kebelakangan ini, pelbagai perkara diluar dugaan berlaku. Sebuah kisah yang berlaku di sebuah institusi pendidikan terkemuka Negara (nama perlu dirahsiakan) amat mengejutkan banyak pihak.

1. Seorang pengawal keselamatan telah ditahan reman oleh polis atas kesalahan mengeluarkan wang pelajar berjumlah RM 500 tanpa pengetahuan dan kebenaran pelajar terbabit. Kes ini terbongkar apabila pihak bank membenarkan mangsa dan pensyarah melihat sendiri rakaman CCTV tersebut serta mengenalpasti identiti individu yang kelihatan pada waktu sepertimana tercatat dalam transaksi bank. Pengawal keselamatan tersebut didapati mencuri kad bank pelajar berkenaan yang kebetulan berada di dalam beg seorang rakan pelajar berkenaan. Penangkapan pengawal keselamatan ini bakal membongkar beberapa kes kecurian yang kerap berlaku di institusi pendidikan tersebut serta kaitannya dengan beberapa orang dalam yang disyaki terlibat mendalangi beberapa kes kecurian sebelum ini.

2. Seorang pensyarah di institusi pendidikan yang sama telah menggelapkan wang koperasi berjumlah RM 10,000. Kes ini terbongkar apabila syarikat bas yang selama ini berurusan dengan institusi pendidikan terbabit dalam mengambil dan menghantar pelajar pulang ke destinasi masing-masing pada waktu cuti telah datang menuntut pembayaran berjumlah RM 10,000. Kejadian ini amat mengejutkan banyak pihak. Setelah soal siasat dilakukan, didapati pensyarah berkenaan yang bertindak sebagai orang tengah dalam urusan pembelian tiket bas telah menggelapkan semua wang pelajar yang diberi kepadanya selama ini. Kini, pensyarah berkenaan diberi tempoh selama 3 hari untuk mengganti semula wang tersebut atau tindakan yang lebih tegas bakal di ambil kepada pensyarah berkenaan.

3. Seorang pengawal keselamatan di institusi pendidikan yang sama didapati tidak mengganti balik pinjaman wang daripada beberapa orang pensyarah di institusi pendidikan berkenaan berjumlah RM 6000. Modus operandi pengawal keselamatan tersebut adalah sama apabila beliau ingin meminjam wang daripada mana-mana pensyarah iaitu dengan menagih simpati menceritakan kisah anaknya yang menghidap sakit kronik. Drama tragis berkenaan berakhir dengan para pensyarah yang lembut hati memberikan bantuan wang pendahuluan kerana pengawal tersebut berjanji untuk menggantikannya semula.

Kes di atas adalah sedikit daripada banyak kes yang terbongkar. Apa yang terjadi menunjukkan masyarakat hari ini semakin tenat dengan nilai-nilai murni dan kerohanian sehingga sanggup melakukan apa sahaja yang bertentangan dengan hukum alam mahupun hukum Allah dalam mencapai keinginan peribadi. Semoga ianya menjadi iktibar kepada semua. Janganlah seperti kata pepatah, "harapkan pagar, pagar makan padi". Pengawal keselamatan yang diharapkan menjaga keselamatan dan keamanan institusi pendidikan terbabit telah melakukan perkara yang amat bertentangan dengan pengharapan yang diberikan. Begitu juga dengan pensyarah yang merupakan pendidik, sebaliknya melakukan perkara-perkara yang tidak wajar yang amat bertentangan sekali dengan nilai yang patut ada pada seorang pendidik.

1 comment:

Anonymous said...

ooo... baru saya tahu kisah sebenarnya.... ana

btw... thkz 4 everything cikgu...
hanya Allah yang mampu membalas segala jasa cikgu...