Saturday, May 8, 2010

Semester Baru

Aku kembali ke Kolej MARA Kuala Nerang Kedah seawal 5 Mei 2010 bersamaan hari Rabu. Kepulangan yang awal ini adalah disebabkan arahan berpindah ke quarters baru untuk semua felo ekoran kuantiti pelajar baru yang bakal mendaftar pada 9 dan 10 Mei ini berbeza dari sebelumnya. Kali ini bilangan pelajar lelaki dijangka melebihi bilangan pelajar perempuan kerana program yang ditawarkan lebih menjurus kepada Kejuruteraan. Selain itu pada kemasukan kali ini KMKN tidak lagi mengendalikan program matrikulasi sepenuhnya. Program matrikulasi KPM hanya untuk pelajar perakaunan manakala program yang menjurus kepada kejuruteraan dan perubatan ditukar kepada program UniKL yang dikenali sebagai Foundation in Science & Technology UniKL.

Entah kenapa perasaan kali ini berbeza dari sebelumnya. Mungkinkah disebabkan pertukaran program yang menyebabkan kami semua perlu menukar persepsi, cara kerja dan apa-apa sahaja yang perlu bersesuaian dengan program baru yang bakal dikendalikan bermula esok. Terasa semangat yang begitu pudar sepudar pesona cleopatra. Langkah yang diayun begitu longlai sekali. Entah kemana semangat yang pernah berkobar-kobar sebelum ini pergi. Aku termenung jauh dijendela rumahku yang kini menghadap hutan. Kehijauan alam diselang seli kicauan burung dan nyanyian unggas sesekali merentap kerinduanku kepada pelajar-pelajar sebelum ini. Terasa seperti ingin sekali ku memberhentikan putaran jam agar kenangan indah yang pernah tercipta sebelum ini terus statik tidak bergerak menemani perjalanan kehidupanku di bumi KMKN ini. Ahhh...hatiku berbisik. Semua itu hanyalah angan-angan yang mustahil untuk terjadi. Masa akan terus berlalu. Kenangan silih berganti dan kehidupan perlu diteruskan berbekalkan semangat dan azam yang kental. Segala kisah silam yang manis hanya menjadi sejarah yang perlu dikenang.

Semoga Allah swt memberikan diriku kekuatan untuk meneruskan perjuangan mendidik anak bangsa. Semoga semangat yang hilang ini akan kembali semua seindah pelangi yang mewarnai bumi.......

No comments: