Sunday, April 4, 2010

FinaL ExaM

"Orang yang terbaik adalah orang yang pernah jatuh dan belajar dari kejatuhannya lalu bangkit untuk menjadi lebih baik dari sebelumnya"

Kegagalan bukanlah penamat segalanya. Kegagalan sebenarnya adalah kejayaan yang tertangguh. Penangguhan kejayaan itu mungkin disebabkan oleh perkara yang berpunca dari diri kita sendiri atau mungkin juga berupa ujian dari Allah s.w.t yang hendak menguji keimanan dan ketaqwaan hamba-hambanya.

Setiap yang berlaku dalam kehidupan kita terkandung hikmah dan pengajaran yang amat bermakna dari Allah s.w.t. Kadangkala ujian, dugaan dan cabaran yang kita hadapi sehari-harian sebenarnya adalah satu proses untuk menjadikan kita manusia yang unggul bukan sahaja didunia bahkan jua diakhirat. Tetapi semua itu bergantung kepada bagaimana kita mentafsir setiap kejadian yang berlaku ke atas diri kita. Sekiranya kita meletakkan sepenuh pergantungan kepada Allah s.w.t, nescaya kita akan melihat serta mentafsir setiap apa yang berlaku samada baik atau buruk dari sudut yang positif sekaligus menjadikan kita seorang yang memiliki kepercayaan diri yang tinggi bertitik tolak dari kepercayaan dan pergantungan kita yang juga tinggi kepada Allah s.w.t.

5 April 2010, para pelajar matrikulasi akan menghadapi Peperiksaan Akhir Semester II (PSPM II) yang akan menentukan destinasi dan kursus yang bakal mereka ambil di universiti selepas ini. Semoga segala usaha bersungguh yang telah dicurahkan selama ini akan membuahkan hasil yang bermakna. Perbanyakkanlah doa kepada Allah kerana Dialah yang menentukan segalanya. Bermohonlah agar segala usaha yang telah dilakukan akan diberkati oleh-Nya dan dipermudahkan serta diberi ketenangan bagi menghadapi PSPM II yang bakal bermula esok. Yakinlah kepada ketentuan Allah dan sentiasalah bertawakkal kepada-Nya. Sebagai tenaga pendidik, saya hanya mampu berdoa dan berharap agar semua pelajar akan mampu mencipta kejayaan yang cemerlang. Kejayaan yang semakin mendekatkan diri kita kepada Allah s.w.t.

"Aku meminta kepada Tuhan setangkai bunga segar. Ia beri kaktus berduri. Aku minta kupu-kupu, diberinya ulat bulu. Aku sedih dan kecewa. Namun kemudian kaktus itu berbunga inda sekali dan ulat itupun menjadi kupu-kupu yang sangat cantik. Itulah jalan Tuhan, indah pada masanya. Tuhan tidak memberi apa yang kita harapkan. Tapi dia memberi apa yang kita perlukan. Kadangkala kita sedih, kecewa dan terluka. Tapi jauh diatas segalanya, Dia sedang mengatur yang terbaik buat kita."

No comments: