Semester kedua telah bermula pada 8 Nov 2009 yang lalu. Semua pelajar telah kembali ke kolej dengan azam baru untuk menjadi lebih terbaik dari sebelumnya. Begitu juga aku selaku tenaga pengajar disini, ingin menjadikan hari-hari mendatang lebih bernilai dari sebelumnya. Setiap ruang waktu yang ada, sekiranya boleh ingin dimanfaatkan dengan perkara-perkara yang membawa kebaikan kepada diri dan umat sejagat. Tidak sesekali mahu membiarkan waktu walau sesaat berlalu tanpa ada penambahbaikan atau pembaharuan dalam diri sendiri mahupun kepada para pelajarku. Begitulah azam yang kutanam dan aku sentiasa berjuang melawan perasaan-perasaan negatif yang berlegar difikiran akibat hasutan syaitan dan dorongan nafsu yang sering melalaikan. Kita adalah raja kepada akal dan jangan sesekali kita menjadikan nafsu beraja dalam fikiran kita.
9 November 2009 bersamaan hari Selasa merupakan ‘Birthday’ Pengarah Kolej MARA Kuala Nerang. Lebih kurang jam 4 petang, aku bersama Exco Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) mengadakan pertemuan dengan beliau untuk mengucapkan Selamat Hari Lahir dan memberikan hadiah tanda penghargaan kepada beliau yang menjadi peneraju utama KMKN serta telah berjaya menaikkan nama kolej di persada kebangsaan. Beliau begitu terharu dengan kunjungan kami dan sempat memberikan sedikit amanat buat pemimpin pelajar yang menjadi tonggak harapan kolej. Antara amanat beliau yang sempat ku khadam adalah “Orang buat JAHAT, Kita balas BAIK = LUAR BIASA”. Ianya bermaksud, dalam kehidupan kita seharian seringkali kita berhadapan dengan individu yang dengki atau iri hati dengan apa yang kita miliki seterusnya memusuhi atau cuba menjatuhkan kita. Sebagai seorang yang memiliki jiwa yang murni, hendaklah kita balas segala kejahatan atau keburukan orang terhadap kita dengan kebaikan disamping mendoakan orang tersebut agar dikurniakan hidayah dan petunjuk oleh Allah s.w.t. Memang susah untuk ‘orang biasa’ melakukan perkara sedemikian. Hanya mereka-mereka yang berjiwa luar biasa sahaja yang mampu menyemaikan sikap tersebut dalam diri mereka.
Semoga para pemimpin pelajar yang berada di bawah bimbinganku faham dan cuba menyemaikan sikap tersebut dalam diri mereka. Aku sering berdoa dan berharap agar para pemimpin pelajarku berjaya menjadi insan unggul dalam setiap aspek yang di lakukan samada bercorak akademik atau sebaliknya. Mudah-mudahan setiap ruang waktu yang ada akan dimanfaat sebaiknya untuk melakukan perkara yang lebih signifikan kepada pembangunan diri sendiri dan warga kolej keseluruhannya serta mampu menjadi ‘role model’ terbaik yang harus dicontohi. Kepada para pelajarku, ‘The past is over and done, let it go away’. Apa yang penting adalah masa yang ada sekarang dan seterusnya. Janganlah ditangisi perkara yang telah berlalu. Jadikan setiap apa yang telah berlaku sebagai pengalaman dan guru terbaik untuk menjana diri menjadi insan yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang dunia mahupun akhirat. Ingat, dunia hanyalah tempat persinggahan sementara, akhirat jua kekal abadi buat selamanya. Oleh itu, kejarlah akhirat nescaya dunia bakal mengejarmu. Semoga berjaya. Salam sayang……
No comments:
Post a Comment