Showing posts with label Travelog Kehidupan. Show all posts
Showing posts with label Travelog Kehidupan. Show all posts

Thursday, December 9, 2010

Sebuah Epilog

4 Disember 2010, Sabtu


Arghhh...hati kecilku berbisik. "Malasnya nak bangun pagi ni". Jam baru menunjukkan angka 6.30 pagi. Aku bingkas bangun dan menuju ke bilik air untuk mengambil wudu'. Tikar sejadah bewarna merun dihiasi rona-rona kaabah kubentang menghadap kiblat. 


Selesai menunaikan solat subuh, aku sempat mengalunkan bacaan ayat-ayat suci al-quran sebagai pembuka tirai kehidupanku pada hari ini. Aku berasa sungguh nyaman dan tenang pada pagi tersebut. Aku kemudian menuju ke sofa yang terletak di ruang tamu. Badan yang masih bersisa rasa mengantuk tadi kumanjakan di atas sofa tersebut. Aku terus hanyut dalam buaian mimpi dan episod itu terus bersambung.


"Darling, wake-up!!...It's 10 o'clock already. Please take your breakfast. I put everything on the table." Aku tersentak dari lamunan mimpi. Ceritera yang sedang dipentaskan di alam bawah sedar tadi terhenti seketika. Suara isteriku itu telah mengejutkan lenaku. Aku tidak biasa sebenarnya menyambung tidur selepas solat subuh. Pagi ini adalah kusengajakan kerana sebentar lagi aku akan memandu pulang ke kampung isteriku di Johor. 


Tepat jam 12 tengahari, kami memulakan perjalanan pulang ke Johor. Tidak sangka, lalulintas agak sibuk pada hari ini. Mungkin kebanyakan orang mengambil kesempatan di musim cuti sekolah ini untuk membawa keluarga masing-masing bercuti. Jam 2 petang, kami tiba di Port Dickson. Memang aku bercadang untuk singgah di Port Dickson bagi melakukan tinjauan terhadap tempat-tempat yang sesuai untuk mengadakan aktiviti reunion. Ini adalah permintaan bekas pelajarku yang beria-ia untuk menjalankan aktiviti tersebut dan mereka meminta aku untuk mencari tempat yang sesuai untuk kami melakukan aktiviti. Mujurlah aku mempunyai kenalan di Port Dickson yang juga merupakan adik angkatku iaitu Hakim dan Fauzuwan. Merekalah yang telah bertungkus lumus mendapatkan tempat yang paling strategik dan sesuai buat kami menjalankan aktiviti reunion ini nanti. Hakim dan Fauzuwan juga telah berjanji untuk membantuku menyediakan keperluan-keperluan semasa aktiviti reunion itu nanti. Aku bersyukur kepada Tuhan kerana memiliki sahabat-sahabat yang begitu ikhlas membantu. 


Jam 5.30 petang, kami meneruskan perjalanan pulang ke Johor Baharu. Sepanjang perjalanan, muzik piano Richard Clayderman dan lagu Maher Zain yang semakin popular menjadi teman. Tidak banyak yang aku dan isteriku bualkan disepanjang perjalanan tersebut. Sekali sekala isteriku bertanya perkara-perkara yang terlintas difikirannya ketika itu. Isteriku semakin masak dengan perangaiku yang suka mendiamkan diri ketika memandu. Entahlah, aku sebenarnya amat rimas berkata-kata kerana aku lebih suka mendiamkan diri, memerhati landskap disepanjang perjalanan disamping otak ligat berfikir pelbagai perkara. 


Ketibaan kami di Johor Jaya, Johor Baharu disambut oleh keluarga dengan penuh keriangan dan kegembiraan. Kebetulan semuanya ada termasuklah ibu kepada umi dan ayah mentuaku ataupun nenda kepada isteriku. Malam itu, kami sekeluarga bersama-sama menikmati hidangan BBQ yang sungguh lazat. 


5 Disember 2010, Ahad


Pagi itu, kami sekeluarga menikmati sarapan bersama. Maklumlah hari Ahad, masing-masing bercuti. Masa banyak dihabiskan di rumah. Jam 3 petang, selesai menikmati hidangan makan tengahari, kami sekeluarga ke Daiman Sports Center bermain badminton.


Peluh jantan memercik membasahi tubuhku. Sudah lama aku tidak bersukan. Tapi alhamdulillah, stamina masih kekal ditahap biasa. Walaupun game berlangsung selama dua jam tanpa henti, tidak sedikitpun badanku terasa penat. 


Malam itu, aku menghabiskan masa menonton DVD cerita "Blind Side" lakonan hebat Sandra Bullock. Hatiku tersentuh menonton cerita tersebut. Hampir sahaja aku menitiskan air mata. Sungguh, aku benar-benar terkesan dengan cerita tersebut. Tidak sia-sia aku menontonnya.
Sebelum melelapkan mata, aku sempat ber'facebook' melalui Black Berry kesayanganku.  


6 Disember 2010, Isnin


Pagi itu, kami bertolak ke Singapura. Hanya satu kereta yang pergi kerana yang lain tidak bercuti. Perjalanan ke Singapura agak lancar memandangkan lalulintas tidak berapa sibuk. Tidak banyak tempat yang kami lawati di Singapura. Masa banyak dihabiskan dengan shopping dan menikmati makanan melayu Singapura. 

Seperti biasa, kekagumanku kepada negara singa tersebut adalah sikap masyarakatnya yang amat menjaga kebersihan dan amat bersopan semasa memandu di jalanraya. Sungguh sukar untukku menjumpai sampah sarap sepertimana lazimnya aku melihat di negaraku sendiri. Aku berharap suatu hari nanti, masyarakat Malaysia mampu mencontohi perkara-perkara baik yang ditunjukkan oleh negara lain. Sekiranya mereka boleh bersikap sedemikian, penuh tanggungjawab dan integriti dalam setiap aspek kehidupan, mengapa tidak kita rakyat Malaysia. Bukankah Islam itu amat mementingkan kebersihan dan saya percaya semua agama juga amat menitikberatkan soal berkaitan kebersihan. 


Sehari suntuk di Singapura melupakan diriku seketika dengan tugas-tugas pejabat. Alhamdulillah, terdetik rasa kesyukuran di hati kecilku. Kami sempat sampai di rumah sebelum maghrib menjelma. Hari ini merupakan tahun baru Islam. Aku sempat membaca doa akhir tahun dan doa awal tahun sepertimana disarankan. Semoga tahun baru ini memberikan inspirasi dan motivasi untuk aku terus melakukan proses 'kaizen' ke atas diriku ini. 


7 Disember 2010, Selasa


Hari ini, masing-masing sudah punyai program. Adik beradik iparku yang perempuan bersama emak mentuaku meluangkan masa memanjakan diri masing-masing di Pusat Rawatan Kecantikan. Aku, isteriku, adik iparku yang lelaki dan nenek saudara pula menghabiskan masa di Angsana Mall pada tengahari tersebut. Kami menikmati pelbagai hidangan Johor yang sungguh enak. Hampir tiga jam kami menghabiskan masa di shopping mall tersebut. Setelah itu, kami menuju ke rumah nenek saudara yang merupakan ibu kepada emak mentuaku. 


Seperti biasa, kedatangan kami disambut penuh excited oleh sanak saudara yang ada di rumah nenek saudara yang kami panggil emak itu. Kerana terlalu kepenatan, aku terlena di sofa empuk diruang tamu rumah tersebut. 


Selesai menunaikan solat maghrib di Masjid Abu Bakar, kami bersiar-siar di sekitar Danga Bay dan kemudian terus pulang ke rumah kerana masih ada aktiviti lain pada malam tersebut iaitu bermain bowling. 


8 Disember 2010, Rabu


Hari ini merupakan hari terakhir kami menghabiskan sisa-sisa cuti 2010. Selepas menikamti hidangan tengahari, aku dan isteriku bertolak pulang ke Kuala Lumpur. Kami sempat singgah di Negeri Melaka Bandaraya Bersejarah. Bandar Hilir menjadi destinasi kami pada petang tersebut. Sempat juga aku mengambil beberapa keping gambar sebagai kenang-kenangan. 


bersambung..................... :)

Thursday, November 25, 2010

PeninG

Semalam (24 Nov 2010), saya masuk tidur seawal jam 9.00 malam setelah menyelesaikan urusan yang sepatutnya. Badan rasa kurang bertenaga dan kepala berpusing-pusing kepeningan. Saya pun tidak tahu apa penyebabnya. Saya terus merebahkan diri di katil setelah set alarm clock pada jam 3 pagi. Saya berhajat untuk bangun seawal itu kerana saya telah masuk tidur lebih awal dari kebiasaannya.

Pada jam 3 pagi, saya terjaga apabila lagu Maher Zain menusuk telinga. Malangnya kepala masih terasa amat berat. Saya cuba memaksa diri untuk bangun. Akhirnya saya memutuskan untuk menyambung semula mimpi saya sehingga ke waktu subuh kerana pening yang dialami sejak malam tadi masih belum hilang.

Jam 6 pagi, saya dikejutkan oleh isteri. Saya terus bangun dan melakukan persiapan diri sebelum ke tempat kerja. Badan sungguh tidak bermaya. Seluruh urat sendi terasa sengal dan sakit. Namun saya gagahkan juga diri untuk ke tempat kerja.

Semoga keadaan saya akan kembali pulih seperti biasa dan kembali bertenaga. Mungkin apa yang berlaku adalah reaksi badan yang kurang rehat. heehehe...

Wednesday, November 24, 2010

New Career...

Selamat kembali semula ke blog setelah berkurun lamanya aku tidak mengemaskini blog ini. Susah benar untuk menjadi seorang penulis yang beristiqamah. Lebih suka 'bloghop' atau membaca blog-blog lain yang dirasakan berfaedah untuk diri sendiri. Amat menyukai blog individu yang suka menulis pengalaman kehidupan seharian berbanding blog yang hanya memaparkan fakta-fakta which sometimes it's really boring.

Tidak sangka sudah hampir 5 bulan aku berada di dunia pekerjaan baru. Sesuatu yang mencabar tetapi menarik. Mengimbau episod perjalanan silam, aku memulakan kerjayaku sebagai seorang 'Trainee Engineer' disalah sebuah syarikat multinasional. Kerjayaku di syarikat tersebut hanya bertahan selama satu tahun setengah. Aku memutuskan untuk berhijrah ke tempat lain setelah mendapat dua tawaran baru yang juga memberiakan dilema untuk aku memilihnya. Samada meneruskan kerjaya di sektor swasta atau memasuki sektor kerajaan. Pada ketika itu aku memperoleh dua tawaran pekerjaan dari sektor yang berbeza. Satu daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan satu lagi daripada Motorola.

Akhirnya tawaran kerjaya sebagai seorang 'Lecturer' oleh MARA kuterima. Dan bermulalah langkahku meninggalkan kota metropolitan Kuala Lumpur dan berhijrah ke Kuala Nerang, Kedah. Aku ditempatkan di Kolej MARA Kuala Nerang, Kedah dan diberikan tanggungjawab untuk mengajar subjek Fizik kepada pelajar-pelajar matrikulasi dan foundation UniKL. Kerjayaku disana hanya bertahan selama tiga tahun setengah sahaja dan kini aku telah berhijrah ke dunia baru.

Pada tanggal 25 Julai 2010, aku telah melapor diri sebagai seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Jabatan Perkhidmatan Awam dan kini ditempatkan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Bukit Kiara Kuala Lumpur. Alhamdulillah, aku bersyukur kepada Allah swt di atas nikmat melimpah ruah yang dikurniakan oleh-Nya selama ini despite all the challengges throughout my life.

Apa yang penting, aku akan sentiasa berusaha untuk menjadi yang terbaik dan menyerahkan segala-galanya kepada Yang Maha Esa. Aku yakin dengan segala ketentuan-Nya. Setiap cabaran dan dugaan itu sebenarnya adalah ujian untuk menjadikan kita lebih matang dan lebih baik dari sebelumnya. Dan setiap yang berlaku itu tersembunyi 1001 hikmah yang hanya Allah swt sahaja yang mengetahui. Janganlah kita mudah bersangka buruk dengan Allah swt sekiranya kita berhadapan dengan masalah kehidupan yang amat mencengkam. Bersabarlah dan serahkan segala-galanya kepada Yang Maha Mengetahui.

Aku gembira dengan apa yang aku lalui sekarang. Hidup ini sungguh indah bergantung kepada bagaimana kita mentafsir perspektif kehidupan kita ini. Aku akan terus berusaha untuk meletakkan diri pada tahap terbaik, InsyaAllah......

Thursday, October 29, 2009

UPM

Hatiku tiba-tiba tergerak untuk ke UPM sebaik sahaja selesai solat maghrib tadi. Aku terus menelefon seorang bekas pelajar kelasku. Bertanyakan samada beliau free atau tidak. Aku difahamkan sekarang students Uni tengah struggle menghadapi final exam. So aku call la dulu. Takut-takut dia ada paper esok. Nanti terganggu pulak study dia....Dia dengan gembiranya menjawab "saya free cikgu...datangla".

Aku terus mencapai kunci kereta ayahku. Terpaksa guna kereta ayah sebab kereta sendiri tinggal kat rumah. Masa tu aku balik naik flight. Malas nak drive beratus kilometer jauhnya. Naik flight lebih cepat sampai dan kurang penat.

Aku masuk ikut pintu stadium UPM. Takut juga kalau uncle guard tahan tak bagi masuk. Biasala, uncle guard UPM ni ada masanya macam kancil...esok lusa jadi singa. So, aku pun buatla muka baik sambil angkat tangan dan terus pecut masuk.

Keadaan UPM tidak banyak berubah dari segi struktur bangunannya. Sama sahaja sepertimana ketika aku study disini 4 tahun yang lepas. Cuma aku tengok kat foodcourt bersebelahan KTP tu dah ada Marrybrown. Dulu ada kat KMR aje. Yang lain tu aku tak perasan sgt perubahannya sebab waktu malam. I then park my car near to K5. Kat situ aku roger my ex-students. Suruh dia jumpa aku disitu. Dia pun datang dengan lajunya. Terus salam dan cium tangan aku. Baiknya student aku ni. Sangat hormat cikgunya.

Aku pun bawaklah dia menuju ke sebuah kedai mamak near to UPM. Tempat lepakku ketika aku menuntut ilmu di UPM dulu. Sampai seluruh staff kat kedai mamak ni dah kenal ngan aku. Punya la kerap aku datang ke kedai mamak tersebut. Itu dulu la. Skang staff dia dah tak kenal la saper aku..Sedihnyerrr....Dulu kat kedai mamak ni lah aku melepak tak kira waktu. Pagi, petang, siang, malam, tengah malam, subuh dan sebagainya. Asalkan ada isu yg nak diborakkan bersama teman-teman, makan disinilah tempat lepak kami sambil makan-makan yang ringan-ringan aje....

Students aku tu pun orderlah Nasi Goreng Pattaya bersama Milo Ais dan aku pulak order Maggi Goreng juga bersama Milo Ais. Sambil makan, macam-macam perkara yang kami borakkan. Hingga tak sedar jam masa tu dah dekat kul 11 malam. Hurmmm...banyak benor isunya. Tak yah citer lah kat sini. Nanti panjang pulak entry ni. Aku tulis ni pun sesaje je. Menghilangkan boring sebelum tido....hahahaha

Then I send him back to the college. Sempat la aku bagi sedikit nasihat. Hopefully dia ikutlah. Insyaallah dia akan ikut sebab dia student yang baik. Sangat hormat cikgu...

Puas la juga hatiku selepas datang melawat UPM ni. Banyak benar kenangan manis+masam+pahit+masin+mcm2 perasa yang pernah tercipta sepanjang aku study di UPM ni. Disinilah aku belajar banyak perkara yang menjadikan diri ini lebih dewasa...Mataku dah semakin mengantuk. Aku nak tidur dulu ye....

*Sorry lah.Entry kali ini menggunakan bahasa yg betul-betul rojak. Malas pulak nak guna ayat2 yang skema malam ni. Jangan pening ye baca ayat-ayat aku yang berterabur ni. Jaga diri hiasi peribadi.....

Wednesday, October 28, 2009

CuTi............

"Along, antar adik ke sekolah. Cepatlah along, dah lewat ni. Nanti adik kena kutip sampah". "Jap...jap...along tengah siap ni. Ishh...sabor le dik. Tak kemana nye sekolah tu. Kan awal lagi ni. Baru je 7.15 pagi. Apa yang adik nak buat kat sekolah pagi-pagi sangat. Hurmm...makan dulu breakfast ni. Kang sakit lak perut tu."

"Adik, tutup pintu kete tu perlahan sikit.
Along baru je beli kete ni.
Kang along suh naik bas baru tau".


Saban pagi adikku yang bongsu akan terjerit-jerit minta aku menghantarnya ke sekolah. Inilah rutin harianku selama bercuti sehingga 4 Nov 09 nanti. Setiap pagi dan petang, tugasku adalah menghantar dan mengambil adikku yang bongu. Aku mengambil alih sekejap tugas yang biasanya dilakukan oleh ayahku ini. Hanya yang bongsu sahaja yang selalunya dihantar dan diambil. Adik-adikku yang lain pula pergi ke sekolah dengan menaiki bas sendiri.

Selain melaksanakan rutin harian diatas, aku juga banyak menghabiskan waktu cuti ini dengan melayari internet. Mencari, membaca dan mengkaji isu-isu semasa yang berlaku seantero dunia. Terlalu lama rasannya aku tidak "update" diriku ini dengan hal ehwal semasa dunia akibat kesibukan bekerja. Sebenarnya itu bukanlah alasan yang kukuh. Tetapi lebih kepada rasa malas kerana pada waktu bekerja fikiran lebih terfokus kepada perkara-perkara yang bersangkutan dengan kerja. Mungkin selepas ini aku perlu memperuntukkan sedikit waktu untuk membaca akhbar samada secara online, update blog sebagai ruang untukku melontarkan pelbagai idea yang terlintas difikiran serta perkara-perkara lain yang difikirkan bagus selain daripada yang bersangkutan dengan hal ehwal kerja.


Cuti ini juga aku penuhi dengan cuba untuk menghabiskan bacaan dua buah buku yang telah ku beli beberapa bulan yang lalu tetapi masih belum habis dibaca iaitu "Taqwa" tulisan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan "Rich Dad Poor Dad" tulisan Robert Kiyosaki. Dua buah buku yang membawa aku untuk mendalami, memahami, menyelami serta mengamalkan dua nilai yang berbeza intipatinya. Buku "Taqwa" lebih banyak mengupas soal-soal ibadah kita kepada Allah s.w.t keran yang membezakan setiap daripada kita di akhirat kelak bukanlah harta atau pangkat dunia yang dimiliki, tetapi ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t. Inilah yang akan menentukan darjat kita samada tinggi atau rendah disisi-Nya.


Buku "Rich Dad Poor Dad" pula mengupas persoalan kewangan peribadi individu. How to make the money work for you rather than you work extremely harder for money. Most of the people only work for money to pay taxes etc. Only small people know how to make the money work for them. Seronok membaca buku ini kerana penulisannya yang santai, tidak terlalu berfakta dan lebih kepada pengalaman penulis iaitu Robert Kiyosaki sendiri. Masih dipertengahan jalan dan insyaallah aku akan berusaha untuk menghabiskan bacaan sebelum kembali semula ke kolej. Membaca buku ini kadang-kadang menyuntik satu semangat yang berkobar-kobar dalam diriku untuk berhenti makan gaji dan memulakan perniagaan sendiri. Kerana apa yang diceritakan lebih kepada perniagaan dan sepertimana kita sedia maklum, Islam sendiri menyatakan 9/10 rezeki datangnya daripada perniagaan. Tetapi pada hari ini begitu ramai yang berlumba-lumba untuk makan gaji termasukkan diriku sendiri. Aku bertekad untuk terus mendalami hal ehwal yang berkaitan dengan perniagaan dan insyaallah sekiranya Allah s.w.t membuka pintu hati dan memberikan kekuatan, aku juga ingin memiliki perniagaan sendiri suatu hari nanti. Doakanlah yang terbaik buat diri ini.

***********************

Melarikan diri seketika dari Kota Metropolitan Kuala Nerang adalah saat yang sukar digambarkan keindahannya. Fikiranku bebas sebebas bebasnya dari memikirkan hal ehwal yang bersangkutan dengan kerja dan sebagainya. Walaupun ada dua tiga perkara yang perlu aku fikirkan dan laksanakan pada musim cuti ini, tetapi ianya tidaklah terlalu membebankan. Aku memiliki ruang waktu yang lebih banyak untuk melaksanakan perkara-perkara yang lebih bercorak peribadi. Mudah-mudahan cuti yang panjang kali ini akan memberikan manfaat berharga buat diriku serta dipenuhi dengan unsur-unsur yang berguna.

Monday, October 26, 2009

PenGaLaman BeKerJa.......


Antara kerja yang pernah aku lakukan samada secara part-time or full-time...hurmm... best...best.. Banyak pengalaman yang aku dapat....so kepada mereka-mereka di luar sana, janganlah terlalu memilih pekerjaan....tidak salah berbuat demikian...tapi jgn demand sangat.....lakukan dulu apa-apa yg ada...asalkan rezeki yang diperoleh halal disisi Allah s.w.t... sambi-sambil tu sentiasa lah mengintai-ngintai peluang baru dan jangan sesekali putus asa untuk sentiasa meningkatkan potensi diri ketahap yang lebih baik...Bukan kah itu sangat-sangat dituntut oleh agama Islam.. Jadilah yang terbaik selalu mudah-mudahan seluruh alam memperoleh manfaatnya dan niatlah setiap pekerjaan itu kerana Allah s.w.t agar kita beroleh ganjaran di akhirat kelak.....

Inilah pekerjaan yang pernah aku lakukan.......

  • Cashier (Pasaraya Parkson) : after SPM, 1 month aje...then dapat offer masuk matrix
  • Mc' Donalds Crew : Cuti Semester Universiti....sonok-sonok...tapi boleh tahan letih lorr
  • Insurance Agent : masa final semester U...sonok gak sbb selalu dpt ckp ngan stranger
  • Tutor @ Demo Jabatan Fizik UPM : Lecturer aku offer suh tolong dia...tapi selalu kena buli ngan student sebab muda remaja+encem+cute+dan lain-lain....pengalaman pertama mengajar....gementar seluruh otot masa tu....kepada Allah diri ini berserah.....
  • Mengajar Tution kat Pusat Tution Serdang: Ajar Add Math dan Physics...best la waktu ni sbb satu kelas cuma ada less then 10...so bleh bagi focus yang sepenuhnya pada setiap pelajar....Part-time masa kat Uni...selalunya hujung minggu la.....
  • NGO Majlis AIDS Malaysia: kejap je joint this...masa tu lecturer aku ajak joint dia kat AIDS International Conference....byk juga pengalaman yang diperoleh dalam memahami+menghayati+mendalami isu-isu orang yang dijangkiti AIDS+HIV ni......
  • Celcom agent: masa cuti U gak...waktu lapang-lapang...tolong kawan aje sebenarnya...selalu kitorang bukak booth kat supermarket...then buat muka tak malu...tahan je mana-mana orang...suh beli apa-apa pakej celcom...dapat la komisyen seciput......
  • Researcher MINT Bangi: 6 bulan aje...masa ni practical sebenarnya...aku tolong my supervisor siapkan project dia...aku lah mangsa yang kena collect all the data+baca journal yang berlambak dan memeningkan+buat analysis+then present kat Supervisor aku...pastu kena hentam itu dan ini...pengalaman yang best sebab dari situlah aku belajar banyak perkara...Supervisor aku ni memang suka hentam aku.....garang-garang dia, sebenarnya terselit didikan yang amat bermakna...thanx Dr....you are so great...May Allah loves you...
  • Project Engineer (Keppel T&T Company): hurmm...kejap je aku keje disini...pastu aku chow after 3 months....no reasonable reason...tak sesuai kot+mcm2 problem.....
  • Design Engineer: 1 year only....pastu berhenti....biasalah, baru-baru kerja+darah muda....ada je yang tak sesuai.....
  • Physics Lecturer (Kolej MARA Kuala Nerang, Kedah): Alhamdulillah, masih berada disini setakat ini...seronok sebenarnya jadi educator ni walaupun duit tak banyak+tak leh gi oversea selalu macam adik aku yang kerja di Proton....Apa yang penting adalah ketenangan dan kepuasan dalam mendidik dan membangun anak bangsa...Kadang-kadang tension gak sebab melayan kerenah budak-budak muda lingkungan 18-19 years old...Tapi kena banyakkan bersabar+rasa sayang yang mendalam+komitmen tanpa mengira waktu & masa+apa-apa aje yang patut dikorbankan....Seorang guru itu kan ibarat lilin yang membakar dirinya.....
Hurmm....itulah antara kerja-kerja yang pernah aku lakukan sehingga kini...Masih mencari kot-kot ada peluang lain diluar sana...Bukan tidak bersyukur dengan apa yang ada, tetapi prinsip yang dipegang iaitu ingin menjadi terbaik dari semasa ke semasa agar kebaikan itu boleh dikongsi dan dimanfaat bersama menyebabkan diri ini sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukan apa sahaja asalkan setiap pekerjaan itu diredhai oleh Allah s.w.t. Kalau kita tidak memasang azam untuk menjadi umat Islam terbaik, persoalannya siapa lagi??...Adakah kita sentiasa meletakkan tanggungjawab itu kepada orang lain. Umat Islam perlu menjadi umat yang hebat sepertimana sejarah pernah menceritakan tentang keagungan Tamadun Islam yang pernah terbina....Persoalannya bagaimana???...Kembalilah kepada ajaran Al-Quran dan Sunnah Nabi...Kerana itulah panduan yang membawa kita kepada kehidupan yang abadi di akhirat sana..

"Ya Allah, berikanlah kekuatan kepada diri ini untuk menjadi hamba-Mu yang terbaik disisi-Mu dan perkuatlah diri ini untuk menahan godaan dan tipudaya syaitan yang sering menyesatkan"

Friday, October 31, 2008

hooreyy

Hari ini bersamaan 31 Oct 2008 adalah hari terakhir para pelajarku menghadapi Peperiksaan Akhir Matrikulasi Semester 1. Peperiksaan ini bakal menentukan samada mereka layak atau tidak untuk meneruskan pengajian di semester II nanti. Aku hanya mampu berdoa dan berharap agar semua pelajarku berjaya mencapai kejayaan yang cemerlang sepertimana yang diidam-idamkan.
**************
Paper Matematik dan Kimia Kertas II dikatakan paling susah sekali. Itu menurut para pelajar. Tetapi menurut aku dan juga guru-guru lain, paper tersebut tidaklah sesusah mana. Cuma soalan-soalan yang agak "tricky" dan bentuk soalan yang agak mengelirukan sekiranya dibaca tanpa merenung secara mendalam mungkin antara faktor yang menyebabkan ianya begitu susah dimata para pelajar. Memang kuakui, paper Matematik Kertas II terutamanya terlalu banyak tipu muslihat. hahaha....Tipah tertipu jugak akhirnya. Tetapi aku tetap yakin, bagi pelajarku yang telah berusaha dengan gigih, Insyaallah kejayaan pasti akan memihak kepada mereka. Aku selalu berpesan kepada mana-mana pelajarku, sebagai manusia kita hanya mampu mentepkan matlamat, berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat tersebut dan percaya akan kebolehan diri untuk mencapai apa sahaja yang dikehendaki. Selebihnya kita serahkan kepada Allah kerana Dialah yang menentukan segalanya. Sekiranya kita beroleh apa yang kita kehendaki,panjatkan kesyukuran kepada-Nya. Sekiranya tidak, janganlah kita terus berputus asa kerana setiap perkara yang berlaku itu pastinya mengandungi 1001 hikmah yang kita sendiri tidak tahu. Kejayaan dan kegagalan yang dikurniakan kepada kita itu sebenarnya adalah satu ujian. Janganlah kita terus bongkak dan lupa diri apabila berjaya dan jangan pula kita menyalahkan tuhan dan diri sendiri sekiranya usaha yang kita lakukan tidak mendatangkan sebarang hasil. Berfikirlah secara mendalam, lakukan muhasabah dan penilaian diri yang berterusan serta berusahalah sedaya mampu untuk meningkatkan kualiti diri ke tahap terbilang dari semasa ke semasa.
****************
Bermula esok para pelajar akan cuti semester. Ada diantaranya yang pulang ke kampung halaman masing-masing dan ada yang tidak dapat pulang kerana terdapat sebahagian pelajar yang jadual peperiksaan MUET mereka jatuh pada waktu cuti ini. Kesian...kesian.... Sepertimana para pelajar yang tidak dapat bercuti, aku juga begitu. Waktu cuti ini aku telah ditugaskan oleh Bahagian Matrikulasi untuk menanda kertas peperiksaan yang akan berlangsung di Kuala Lumpur. Aku akan bertolak ke sana pada pagi 4 Nov 2008 dengan menaiki penerbangan MAS dari Alor Star ke KL. Aku berharap agar dapat menyempurnakan tugas tersebut dengan baik dan jayanya.
*****************
Semalam seorang Ibu kepada seorang pelajarku telah menelefonku ketika aku tengah leka bersantai sambil menonton cerita di saluran ASTRO. Ibu kepada pelajar tersebut agak resah kerana tidak dapat menghubungi anaknya kerana menurutnya panggilan yang dibuat tidak berangkat. Banyak soalan-soalan yang diajukan kepadaku bertanya mengenai perkembangan anaknya sepanjang menghadapi peperiksaan akhir ini. Menurut Ibu tersebut lagi, anaknya sering mengadu tidak dapat menjawab soalan-soalan peperiksaan dengan baik dan agak "give-up" untuk meneruskan pengajian di sini. Aku hanya mampu menjadi pendengar yang baik dan meyakinkan Ibu tersebut bahawa Insyaallah anaknya pasti boleh mendapat keputusan yang cemerlang kerana aku kenal sangat dengan pelajar tersebut. Tidak perlulah aku ceritakan siapa beliau disini.
*****************
Sebagai seorang guru, walaupun kadangkala sikap pelajar amat memeningkan, kutabahkan juga hati untuk berhadapan dengan semua karenah itu. Kadang-kadang aku hampir "give-up" terutamanya kepada pelajar yang tidak ada kesedaran untuk belajar bersungguh-sungguh, cepat putus asa, terlalu melayan emosi dan sebagainya. Tetapi selepas meneliti semula "title"ku sebagai seorang guru, aku terus menginsafi bahawa diri telah dipertanggungjawabkan untuk mendidik dan aku harus kuat untuk berhadapan dengan segalanya. Teringat cerita jepun "Great Teacher Onizuka", sedikit sebanyak menyuntik inspirasi untuk aku terus berusaha bersungguh-sungguh demi melahirkan pelajar yang bukan sahaja unggul dari segi akademiknya tetapi bergemerlapan sahsiah mereka.


Tuesday, April 29, 2008

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah s.w.t kerana masih memberikan aku ruang dan peluang untuk menghirup udaranya di muka bumi ini. Terdetik dihatiku memohon keampunan kepada Allah atas segala dosa yang telah terlalu banyak kulakukan selama ini. Aku berharap agar diri ini akan terus berusaha untuk menjadi mukmin sejati yang mendapat keredhaan dari-Nya.

Selasa, 29 April 2008….seperti hari semalam, aku banyak menghabiskan masa dirumah. Berehat sambil menenangkan fikiran dan melakukan muhasabah atas setiap kesilapan yang pernah dilakukan. Minggu ini merupakan minggu kedua aku bercuti. Sebagai seorang tenaga pengajar Matrikulasi, cutiku tidak sama dengan cuti sekolah.

Walaupun cutiku adalah selama tiga minggu, tetapi aku sebenar-benarnya bercuti hanya selama seminggu. Ini kerana minggu lepas aku sibuk dengan urusan Bahagian Matrikulasi. Seminggu aku bertapa di Hotel Pearl International KL untuk menyelesaikan segala tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan kepadaku. Tidak perlu aku ceritakan apa tugas tersebut kerana ianya dilindungi oleh Akta Rahsia Rasmi yang borangnya sudah kutandatangani sebelum memulakan tugas tersebut.

Aku check-out selepas lunch pada hari Ahad, 27 April 2008. Banyak pengalaman dan perkongsian kepakaran yang kuperolehi sepanjang seminggu aku di hotel tersebut. Aku kebetulan sebilik dengan seorang pensyarah UniMAP yang juga terlibat dengan tugas-tugas Bahagian Matrikulasi. Sepanjang aku mengenalinya, beliau adalah seorang yang easy going person. Mudah diajak berbincang dan sebagainya. Pengalaman beliau sebagai seorang pensyarah UniMAP banyak membuka pandanganku terhadap dunia luar. Selain itu, aku juga dapat berkenalan dengan ramai lagi pensyarah-pensyarah universiti di Malaysia yang kebanyakannya terlibat secara langsung dengan Bahagian Matrikulasi.

********************

Hari Isnin, 28 April 2008…..aku berjumpa dengan seorang bekas pelajarku yang kebetulan bermalam di hostel abangnya di UKM. Kebetulan beliau baru selesai menghadiri satu temuduga kursus senibina UTM yang diadakan di UTM KL. Menurutnya, soalan-soalan yang dikemukakan banyak berkaitan dengan subjek Lukisan Kejuruteraan yang mana beliau tidak pernah pelajari selama ini. Aku sempat memberikan kata-kata semangat kepadanya agar tidak mudah putus asa dalam setiap percubaan yang dilakukan semasa dalam perjalanan menghantar beliau ke stesten bas pekeliling.

********************

Minggu hadapan bersamaan hari Selasa, 6 Mei 2008....aku akan bertolak balik semula ke Kedah untuk meneruskan perjuanganku sebagai tenaga pendidik. Aku berazam untuk melakukan yang lebih baik lagi dari semester sebelumnya. Mudah-mudahan Allah akan memberikanku petunjuk dan kekuatan untukku meneruskan usaha-usaha pembentukan modal insan yang cemerlang bukan sahaja di dunia bahkan juga di akhirat. Amin......

“Don’t do what you like, but like what you do”