Apa yang menarik berkenaan buku tersebut adalah pengalaman benar yang dilalui diceritakan seikhlas mungkin untuk manfaat dan tauladan bersama pembaca. Apa yang menyentuh hatiku adalah status seorang yang telah bergelar Professor atau boleh dikatakan sudah berada di puncak tertinggi kerjaya pada usia 40 tahun berusaha sedaya upaya untuk membetulkan diri menjadi insan terbaik setelah dibukakan pintu hati bagi menunaikan fardu haji oleh Allah s.w.t. Pada usia tersebut, seorang Professor berusaha sedaya mungkin belajar membaca Al-Quran bermula dengan Muqaddam dan akhirnya berjaya khatam Al-Quran di Baitullah. Kesungguhan beliau untuk menjadi Hamba Allah yang terbaik dunia akhirat amat dikagumi. Walaupun sudah bergelar Professor, beliau tidak segan silu untuk bermula semula belajar mengaji Al-Quran bermula dengan Muqaddam. Haji menjadi penyebab beliau semakin mendekatkan diri kepada Allah s.w.t walaupun sebelum ini beliau mungkin sama sekali tidak terfikir sedemikian. Alhamdulillah.
Hatiku betul-betul tersentuh dengan kesungguhan penulis dan aku terus merenung jauh ke dalam diri sendiri menilai sejauhmana dekatnya diriku kepada Allah. Terasa diri sangat berdosa tatkala memikirkan segala kelalaian dan kealpaan yang berlaku selama ini dalam hidupku. Aku berharap, pengalaman yang dikongsi penulis ini bukan sahaja menusuk jauh ke dalam hatiku tetapi juga kepada para pembaca lain.
Marilah bersama-sama kita kembali ke jalan yang diredhai Allah s.w.t. sepenuhnya. Ingatlah, dunia ini hanyalah persinggahan sementara. Akhirat jua kekal abadi buat selamanya. Janganlah sesekali kita lalai dan leka dengan tipu daya dan muslihat dunia, kelak kita akan merana akhirnya. Setinggi mana kita dipuncak kuasa, bertimbun mana harta kita, berapa banyak gelaran dunia yang kita terima, janganlah semua itu membuatkan kita lalai dan alpa. Jadilah Hamba Allah terbaik dengan meniatkan semua perkara yang kita lakukan kerana Allah kerana ianya akan menjadi ibadah. Berpegang teguh lah dengan tali Allah, Al-Quran dan Sunnah Nabi adalah panduan yang memandu kita ke jalan yang di redhai-nya.
Milikilah buku ini dan hayatilah pengalaman yang cuba disampaikan. Mudah-mudahan kita memperoleh manfaat bersama dan menjadi titik tolak perubahan hidup kita.
No comments:
Post a Comment