Friday, October 23, 2009

AnJakan PaRadiGma

Orang selalu bercakap berkenaan kita perlu melakukan anjakan paradigma dalam kehidupan agar dimasa-masa akan datang kehidupan ini lebih bermakna. Dalam erti kata lain, kita pada hari ini menjadi lebih baik dari semalam dan seterusnya. Bukankah itu yang dituntut oleh agama suci Islam dan telah ditekankan berkali-kali oleh junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Sesiapa yang hari ini lebih buruk dari semalam atau sama sahaja adalah dalam kalangan orang-orang yang rugi.

Aku sering menilai dan meneliti diri aku sendiri sebagai hamba Allah yang lemah dan sering melakukan kesilapan. Persoalan seperti, "mengapa susah sangat nak jadi orang yang beristiqamah", "mengapa azam yang ditanamkan dalam diri kadang-kadang seperti hangat-hangat tahi ayam, hari ini begitu bersemangat hendak menjadi terbaik tetapi terbalik pula pada keesokannya"....Dan aku yakin persoalan yang sama juga bermain difikiran orang-orang yang sentiasa ingin melakukan perubahan atau anjakan paradigma dalam kehidupan. Terlalu banyak cabaran yang terpaksa ditempuh sebenarnya untuk meletakkan diri sebagai hamba yang terbaik disisi Allah s.w.t. Tetapi itulah hakikat yang perlu diterima dan teliti serta hayatilah kisah sejarah para Nabi yang diuji Allah dengan berbagai dugaan agar kita sentiasa tabah menempuh ranjau kehidupan ini.

Pernah aku terbaca dalam sebuah buku karangan Tuan Guru Nik Aziz yang mengatakan, "Sekiranya dunia ini amat berharga disisi Allah s.w.t, nescaya seorang kafir pun tidak akan diberikan nikmat dan rezeki walau sebesar sayap nyamuk". Begitulah perumpamaan bahawa kehidupan dunia ini hanyalah bercorak menipu dan janganlah kita sebagai orang yang mengaku beriman kepada Allah dan Rasul-Nya amat mudah terpedaya dengan dunia yang fana ini.

Tidak salah untuk menjadi individu yang terhebat didunia ini, tetapi bersedialah juga untuk menjadi hamba Allah yang terhebat di akhirat kelak. Kautlah segala kekayaan dan rezeki yang ada di dunia ini dan jadikanlah ianya sebagai catalyst yang mendekatkan diri kita kepada-Nya.

Sahabat yang seiman dan seperjuangan.....sahabat sejati adalah cerminan buat sahabatnya...Marilah bersama-sama kita menegakkan yang ma'aruf dan mencegah yang mungkar serta saling ingat mengingati kearah kebaikan dan kebenaran. Mudah-mudahan kehidupan kita ini sentiasa diberkati dan dirahmati oleh-Nya.

Manusia adalah makhluk lemah yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Bermula hari ini, marilah kita berazam untuk menghindarkan kesilapan-kesilapan itu dan berusaha sedaya mungkin untuk menjadi Hamba Allah yang terbaik dunia mahupun akhirat........


No comments: