Tuesday, October 27, 2009

WhaT You GiVe.....You WiLL GeT BacK....

Pernahkah anda mendengar atau membaca bait-bait kata “What you give, you will get back”. Perkataan ini sebenarnya mempunyai impak yang besar dalam kehidupanku dan aku amat yakin dengannya. Apa yang hendak aku ceritakan disini mungkin boleh dijadikan iktibar, ikutan dan tauladan bersama. Aku sebenarnya tidak berapa mahir sangat untuk menghuraikan perkataan diatas dalam konteks keagaamaan secara mendalam yakni melibatkan ayat-ayat al-quran ataupun hadith bagi mengukuhkan hujah. Apa yang ingin aku tulis disini adalah berdasarkan pengalaman dan pemikiran logik berpandukan pembacaan buku-buku keagamaan atau buku-buku bercorak motivasi yang lain. Sepertimana yang kita sedia maklum, Islam amat menggalakkan umatnya agar memperbanyakkan sedekah dan hendaklah ianya dibuat dengan seikhlas yang mungkin kerana Allah s.w.t. Sehingga dikatakan tangan kanan yang memberi tidak diketahui oleh tangan kiri. Janganlah pemberian yang kita lakukan itu hanyalah semata-mata untuk mendapat pujian atau pengiktirafan dunia. Kerana amal perbuatan seperti itu langsung tidak bernilai disisi Allah s.w.t.

Sebenarnya perkataan “What you give, you will get back” diatas didapati dari sebuah buku motivasi karangan Zig Ziglar (See You At The Top). Zig Ziglar merupakan seorang International Motivator yang amat terkenal diseluruh dunia dan beliau adalah diantara pakar motivasi yang sangat-sangat menekankan konsep “memberi” ini. Dan sepertimana yang kita sedia maklum, konsep “memberi” tanpa mengharapkan balasan ini juga sangat-sangat dituntut oleh Islam.

Sebuah kisah benar yang hendak aku ceritakan disini ada perkaitan dengan konsep “memberi” ini. Ada sepasang suami isteri yang dikurniakan 11 orang anak menjalani kehidupan yang serba kekurangan. Suami merupakan seorang pemandu teksi manakala isteri pula merupakan suri rumah sepenuh masa. Anak-anak yang berjumlah 11 orang itu perlu dibesarkan dan suami isteri ini berusaha bersungguh-sungguh melakukan apa sahaja pekerjaan yang boleh memberikan rezeki yang halal untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga. Selain menjadi pemandu teksi, bakat memasak yang ada dalam diri suami isteri ini dimanfaatkan sepenuhnya dengan mengambil tempahan-tempahan memasak untuk majlis-majlis seperti kenduri kahwin dan sebagainya. Walaupun kehidupan mereka serba kekurangan, tetapi keluarga ini lebih banyak melakukan pekerjaan tanpa memikirkan soal keuntungan. Dalam erti kata lain sebagai contoh, apabila mengambil tempahan memasak cas yang dikenakan kepada customer adalah teramat murah sehingga boleh dikatakan “tidak pulang modal”. Tetapi kerana pekerjaan yang dilakukan lebih kepada sedekah atau menolong orang lain, maka setiapnya dilakukan seikhlas yang mungkin walaupun tenaga yang dikeluarkan hanya Allah yang tahu. Baru-baru ini, ditakdirkan Allah s.w.t, rezeki yang tidak disangka-sangka datang menjengah. Sepasang suami isteri berketurunan Arab yang kebetulan menaiki teksi yang dibawa oleh si suami tadi telah digerakkan pintu hatinya oleh Allah s.w.t untuk menaja kedua suami isteri tersebut bagi menunaikan Haji di Baitullah. Proses berlaku dengan begitu pantas apabila keluarga Arab tersebut terus mendaftarkan nama suami isteri ini di Tabung Haji dan memasukkan sejumlah wang yang agak besar dalam akaun Tabung Haji si suami dan isteri bagi menampung perbelanjaan Ibadah Haji nanti. Sekarang si suami dan isteri hanya berdoa kepada Allah s.w.t agar urusan hajinya dipermudahkan dan dipercepatkan. Begitulah hebatnya konsep “memberi” atau “sedekah” yang dilakukan secara ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Biarlah Allah s.w.t yang membalasnya sepertimana yang berlaku kepada pasangan suami isteri ini. Kalau mengharapkan duit sendiri, mungkin tiada harapan untuk mereka menunaikan Haji di Baitullah kerana kebanyakan duit dihabiskan untuk anak-anak yang berjumlah 11 orang yang semuanya masih dalam proses membesar dimana yang paling tua berumur dalam lingkungan 24 tahun dan masih belajar di tahun akhir.


Cerita diatas adalah kisah benar yang diceritakn seringkas mungkin untuk iktibar bersama. Siapa individu sebenar adalah dirahsiakan untuk melindungi privasi mereka. Tetapi penulis amat mengenali keluarga ini.
Bermula sekarang, marilah bersama-sama kita mengamalkan konsep memberi tanpa mengharapkan balasan mudah-mudahan Allah s.w.t mengurniakan ganjaran pahala yang tidak ternilai disisinya. Janganlah kita hanya memberi atau bersedekah di waktu kita senang, kerana kita kurang merasakan nikmatnya. Tetapi “memberilah” pada bila-bila masa sahaja samada di waktu senang mahupun di waktu susah dan niatkanlah hanya kerana Allah s.w.t.

Sebagai contoh sekiranya kita tengah berjalan di ibu kota dan tiba-tiba kita di datangi oleh seseorang yang meminta kita mendermakan sedikit wang untuk tujuan itu dan ini, maka berilah walaupun sedikit asalkan pemberian itu datang dari sudut hati yang amat ikhlas. Janganlah kita sesekali menghampakan permintaan individu tersebut walaupun kita mungkin khuatir akan kesahihannya samada benar-benar mereka memerlukan wang ataupun hanya berupa sindiket. Apa yang penting adalah niat kita kerana “Setiap perbuatan itu dinilai disisi Allah s.w.t berdasarkan niat masing-masing”.


Ada tiga perkara yang akan bersama-sama kita dialam kubur kelak iaitu;
• Ilmu yang bermanfaat
• Anak yang soleh

• Sedekah

Sahabat seiman dan seperjuangan, mudah-mudahan apa yang cuba disampaikan dapat memberi manfaat bersama kepada kita semua.


No comments: