Thursday, December 9, 2010

Sebuah Epilog

4 Disember 2010, Sabtu


Arghhh...hati kecilku berbisik. "Malasnya nak bangun pagi ni". Jam baru menunjukkan angka 6.30 pagi. Aku bingkas bangun dan menuju ke bilik air untuk mengambil wudu'. Tikar sejadah bewarna merun dihiasi rona-rona kaabah kubentang menghadap kiblat. 


Selesai menunaikan solat subuh, aku sempat mengalunkan bacaan ayat-ayat suci al-quran sebagai pembuka tirai kehidupanku pada hari ini. Aku berasa sungguh nyaman dan tenang pada pagi tersebut. Aku kemudian menuju ke sofa yang terletak di ruang tamu. Badan yang masih bersisa rasa mengantuk tadi kumanjakan di atas sofa tersebut. Aku terus hanyut dalam buaian mimpi dan episod itu terus bersambung.


"Darling, wake-up!!...It's 10 o'clock already. Please take your breakfast. I put everything on the table." Aku tersentak dari lamunan mimpi. Ceritera yang sedang dipentaskan di alam bawah sedar tadi terhenti seketika. Suara isteriku itu telah mengejutkan lenaku. Aku tidak biasa sebenarnya menyambung tidur selepas solat subuh. Pagi ini adalah kusengajakan kerana sebentar lagi aku akan memandu pulang ke kampung isteriku di Johor. 


Tepat jam 12 tengahari, kami memulakan perjalanan pulang ke Johor. Tidak sangka, lalulintas agak sibuk pada hari ini. Mungkin kebanyakan orang mengambil kesempatan di musim cuti sekolah ini untuk membawa keluarga masing-masing bercuti. Jam 2 petang, kami tiba di Port Dickson. Memang aku bercadang untuk singgah di Port Dickson bagi melakukan tinjauan terhadap tempat-tempat yang sesuai untuk mengadakan aktiviti reunion. Ini adalah permintaan bekas pelajarku yang beria-ia untuk menjalankan aktiviti tersebut dan mereka meminta aku untuk mencari tempat yang sesuai untuk kami melakukan aktiviti. Mujurlah aku mempunyai kenalan di Port Dickson yang juga merupakan adik angkatku iaitu Hakim dan Fauzuwan. Merekalah yang telah bertungkus lumus mendapatkan tempat yang paling strategik dan sesuai buat kami menjalankan aktiviti reunion ini nanti. Hakim dan Fauzuwan juga telah berjanji untuk membantuku menyediakan keperluan-keperluan semasa aktiviti reunion itu nanti. Aku bersyukur kepada Tuhan kerana memiliki sahabat-sahabat yang begitu ikhlas membantu. 


Jam 5.30 petang, kami meneruskan perjalanan pulang ke Johor Baharu. Sepanjang perjalanan, muzik piano Richard Clayderman dan lagu Maher Zain yang semakin popular menjadi teman. Tidak banyak yang aku dan isteriku bualkan disepanjang perjalanan tersebut. Sekali sekala isteriku bertanya perkara-perkara yang terlintas difikirannya ketika itu. Isteriku semakin masak dengan perangaiku yang suka mendiamkan diri ketika memandu. Entahlah, aku sebenarnya amat rimas berkata-kata kerana aku lebih suka mendiamkan diri, memerhati landskap disepanjang perjalanan disamping otak ligat berfikir pelbagai perkara. 


Ketibaan kami di Johor Jaya, Johor Baharu disambut oleh keluarga dengan penuh keriangan dan kegembiraan. Kebetulan semuanya ada termasuklah ibu kepada umi dan ayah mentuaku ataupun nenda kepada isteriku. Malam itu, kami sekeluarga bersama-sama menikmati hidangan BBQ yang sungguh lazat. 


5 Disember 2010, Ahad


Pagi itu, kami sekeluarga menikmati sarapan bersama. Maklumlah hari Ahad, masing-masing bercuti. Masa banyak dihabiskan di rumah. Jam 3 petang, selesai menikmati hidangan makan tengahari, kami sekeluarga ke Daiman Sports Center bermain badminton.


Peluh jantan memercik membasahi tubuhku. Sudah lama aku tidak bersukan. Tapi alhamdulillah, stamina masih kekal ditahap biasa. Walaupun game berlangsung selama dua jam tanpa henti, tidak sedikitpun badanku terasa penat. 


Malam itu, aku menghabiskan masa menonton DVD cerita "Blind Side" lakonan hebat Sandra Bullock. Hatiku tersentuh menonton cerita tersebut. Hampir sahaja aku menitiskan air mata. Sungguh, aku benar-benar terkesan dengan cerita tersebut. Tidak sia-sia aku menontonnya.
Sebelum melelapkan mata, aku sempat ber'facebook' melalui Black Berry kesayanganku.  


6 Disember 2010, Isnin


Pagi itu, kami bertolak ke Singapura. Hanya satu kereta yang pergi kerana yang lain tidak bercuti. Perjalanan ke Singapura agak lancar memandangkan lalulintas tidak berapa sibuk. Tidak banyak tempat yang kami lawati di Singapura. Masa banyak dihabiskan dengan shopping dan menikmati makanan melayu Singapura. 

Seperti biasa, kekagumanku kepada negara singa tersebut adalah sikap masyarakatnya yang amat menjaga kebersihan dan amat bersopan semasa memandu di jalanraya. Sungguh sukar untukku menjumpai sampah sarap sepertimana lazimnya aku melihat di negaraku sendiri. Aku berharap suatu hari nanti, masyarakat Malaysia mampu mencontohi perkara-perkara baik yang ditunjukkan oleh negara lain. Sekiranya mereka boleh bersikap sedemikian, penuh tanggungjawab dan integriti dalam setiap aspek kehidupan, mengapa tidak kita rakyat Malaysia. Bukankah Islam itu amat mementingkan kebersihan dan saya percaya semua agama juga amat menitikberatkan soal berkaitan kebersihan. 


Sehari suntuk di Singapura melupakan diriku seketika dengan tugas-tugas pejabat. Alhamdulillah, terdetik rasa kesyukuran di hati kecilku. Kami sempat sampai di rumah sebelum maghrib menjelma. Hari ini merupakan tahun baru Islam. Aku sempat membaca doa akhir tahun dan doa awal tahun sepertimana disarankan. Semoga tahun baru ini memberikan inspirasi dan motivasi untuk aku terus melakukan proses 'kaizen' ke atas diriku ini. 


7 Disember 2010, Selasa


Hari ini, masing-masing sudah punyai program. Adik beradik iparku yang perempuan bersama emak mentuaku meluangkan masa memanjakan diri masing-masing di Pusat Rawatan Kecantikan. Aku, isteriku, adik iparku yang lelaki dan nenek saudara pula menghabiskan masa di Angsana Mall pada tengahari tersebut. Kami menikmati pelbagai hidangan Johor yang sungguh enak. Hampir tiga jam kami menghabiskan masa di shopping mall tersebut. Setelah itu, kami menuju ke rumah nenek saudara yang merupakan ibu kepada emak mentuaku. 


Seperti biasa, kedatangan kami disambut penuh excited oleh sanak saudara yang ada di rumah nenek saudara yang kami panggil emak itu. Kerana terlalu kepenatan, aku terlena di sofa empuk diruang tamu rumah tersebut. 


Selesai menunaikan solat maghrib di Masjid Abu Bakar, kami bersiar-siar di sekitar Danga Bay dan kemudian terus pulang ke rumah kerana masih ada aktiviti lain pada malam tersebut iaitu bermain bowling. 


8 Disember 2010, Rabu


Hari ini merupakan hari terakhir kami menghabiskan sisa-sisa cuti 2010. Selepas menikamti hidangan tengahari, aku dan isteriku bertolak pulang ke Kuala Lumpur. Kami sempat singgah di Negeri Melaka Bandaraya Bersejarah. Bandar Hilir menjadi destinasi kami pada petang tersebut. Sempat juga aku mengambil beberapa keping gambar sebagai kenang-kenangan. 


bersambung..................... :)

Sunday, November 28, 2010

TIDUR Dari Perspektif Islam

Sumber: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia 


Umumnya, manusia mengatakan tidur malam perlu antara enam hingga lapan jam sehari. Tetapi pendapat ini ditolak oleh para saintis Barat, antaranya Dr Ray Meddis, seorang profesor di Department of Human Sciences, England University of Technology yang mengatakan bahawa manusia sebenarnya perlu tidur malam selama tiga jam sahaja. Walau apapun versinya, tidur dilihat sebagai satu nikmat yang kurniakan oleh Allah kepada manusia. 

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud “Daripada rahmat-Nya (Allah) menjadikan bagi kamu malam dan siang untuk kamu berehat dan mencari rezeki, mudah-mudahan kamu bersyukur." (Surah al-Qasas)

Tidur juga secara mudahnya didefinisikan sebagai berada di dalam keadaan tidak sedar dengan mata terpejam kerana berehat. Persoalan berapa lama jumlah jam tidur yang patut kita ambil dalam sehari, sebenarnya tiada peraturan tertentu atau khusus mengenainya. Bagaimanapun, begitu kebanyakan ahli perubatan menyarankan untuk tidur sekurang-kurangnya lapan jam sehari. Berapa jumlah tidur yang kita ambil yang bertujuan untuk beristirahat bergantung kepada usia, jenis pekerjaan dan keadaan setiap individu. Ini kerana jumlah tidur bagi kanak-kanak adalah lebih banyak berbanding dengan orang dewasa. Bagi orang yang bekerja manggunakan akal fikiran memerlukan lebih banyak tidur berbanding mereka yang bekerja menggunakan fizikal.

Malam hari adalah waktu terbaik untuk tidur. Ini berdasarkan fitrah kejaian manusia itu sendiri. Menurut pendapat ulama dan pakar perubatan, waktu tidur yang lebih baik ialah pada pertengahan malam yang awal iaitu kira-kira pukul 10.00 malam. Manakala waktu yang tidak seharusnya kita tidur ialah selepas Subuh hingga terbit fajar, waktu selepas Asar sebelum terbenam matahari dan dari waktu Maghrib ke Isyak. Menurut mereka lagi, tidur pada waktu-waktu ini tidak memberi manfaat kepada tubuh badan, malah boleh mendatangkan kemudaratan dan makruh hukumnya. Sebagai contoh yang biasa kita dengar, jika tidur selepas solat Subuh, orang tua mengatakan bahawa rezeki lambat dan susah untuk hadir.

Antara sedar atau tidak, tidur sebenarnya mempengaruhi metabolisma dan merangsang daya penyerapan. Oleh hal yang demikian itu, banyak tidur juga tidak sihat untuk tubuh badan. Ini kerana tubuh kita menyerap wap-wap kotor di udara. Jumlah tidur yang banyak bukan menjadikan kita lebih bersemangat, malah menjadikan tubuh kita lemah. Mereka yang banyak tidur akan mematikan hati, memberatkan badan, membazirkan masa, mewarisi sifat kemalasan dan kelalaian. Menurut hukum juga, tidur yang banyak hukumnya adalah makruh di sisi Allah.

Contoh tidur yang terbaik ialah sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. Baginda biasanya masuk tidur tidak terlalu malam, kemudiannya bangun beberapa minit setelah lewat tengah malam untuk melakukan sembahyang solat sunat Tahajud dan berehat sementara mengunggu fajar menyingsing untuk solat Subuh.

Satu perkara yang amat sinonim dengan tidur adalah solat Tahajud. Solat Tahajud adalah ibadah yang kita lakukan pada malam hari, biasanya lewat tengah malam. Solat ini juga dikenali sebagai solat malam. Pendapat ulama mengatakan bahawa solat Tahajud boleh menjauhkan panyakit buah pinggang yang selalu menyerang orang yang banyak tidur dan bangun lewat daripada tidur malam.

Dari segi posisi tidur, cara berbaring dengan posisi terlentang adalah kurang sihat. Ini kerana cara demikian akan menekan atau menyesakkan tulang punggung, bahkan ia kadangkala menyebabkan kita ingin ke tandas. Tidur secara menelengkup pula tidak praktis untuk pernafasan. Tidur pada posisi mengiring ke kiri juga akan mengganggu kesihatan kita, kerana menghimpit jantung sehingga peredaran darah tergangga dan mengurangi alirah darah ke otak, jika ini terjadi kita akan mengalami mimpi sedih atau buruk. Posisi tidur yang terbaik adalah mengiring ke kanan atau menghadap kanan.

Perlu kita ketahui dan ingat, sehubungan dengan fenomena tidur ini, iaitu jika terdapat suatu keinginan dan niat di dalam fikiran sebelum tidur, maka hal-hal tersebut akan meresap di dalam alam bawah sedar kita sepanjang malam tanpa disedari akan mempengaruhi fikiran dan tindakan kita. Sebagai contoh, jika seorang anak kecil tertidur dalam keadaan menangis, maka pada umumnya ketika anak itu bangun, dia akan menangis lagi. Jadi, emosi sebelum kita tidur akan mempengaruhi apa yang akan kita alami di dalam mimpi.

Rasulullah s.a.w menggesa umatnya untuk membaca dan merenungkan ayat-ayat al-Quran, iaitu ayat Kursi, dan tiga surah terakhir daripada al-Quran sebelum tidur. Mungkin ada yang tersalah anggap dengan mengatakan bahawa ayat-ayat itu sebagai jampi atau mantera, tetapi sebenarnya dibaca untuk kita mengingati Maha Pencipta. Ayat-ayat tersebut lebih kepada bicara mengenai keagungan dan keindahan sifat Tuhan. Merenungi sifat-sifat ini akan membantu kita dalam proses pembersihan rohani serta mendapat perlindungan Allah s.w.t terhadap segala godaan syaitan dan hal-hal yang merugikan.

Rasulullah s.a.w memberikan contoh yang baik untuk tidur dengan doa-doa yang lengkap. Tidur itu sendiri sebenarnya mempunyai adabnya yang berlandaskan ajaran Islam, antaranya ialah:

a) Jangan dilewatkan tidur selepas solat Isyak melainkan ada hal penting seperti muzakarah ilmu, melayani tetamu dan sebagainya. Diriwayatkan daripada Abu Barzah, sesungguhnya Nabi s.a.w membenci untuk tidur sebelum Isyak.

b) Berwuduk sebelum tidur. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “Jika kamu mendatangi tempat tidur kamu, maka berwuduklah sebagaimana wuduk untuk solat.”

c) Mulakan tidur atau baring atas rusuk kanan sebagaimana sabda Nabi s.a.w kepada al-Barra´: “Mulakanlah tidur kamu di atas rusuk kanan.”

d) Jangan tidur dengan cara meniarap atau menekan perut kerana sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “Sesungguhnya cara tidur meniarap adalah tidur ahli neraka.”

e) Amalkan membaca doa-doa tidur sebelum dan sesudah bangun dari tidur seperti yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w.

Ringkasnya, pengajaran Islam dalam persoalan tidur memberi penekanan bahawa tidur itu sebahagian daripada nikmat yang diberikan Allah. Demikianlah, ajaran-ajaran Islam yang begitu sempurna merangkumi segala persoalan harian hidup.

Subhanallah, tidak terfikirkah kita, sehingga ke aspek tidur sekalipun Islam ada menggariskan cara yg terbaik.

Thursday, November 25, 2010

PeninG

Semalam (24 Nov 2010), saya masuk tidur seawal jam 9.00 malam setelah menyelesaikan urusan yang sepatutnya. Badan rasa kurang bertenaga dan kepala berpusing-pusing kepeningan. Saya pun tidak tahu apa penyebabnya. Saya terus merebahkan diri di katil setelah set alarm clock pada jam 3 pagi. Saya berhajat untuk bangun seawal itu kerana saya telah masuk tidur lebih awal dari kebiasaannya.

Pada jam 3 pagi, saya terjaga apabila lagu Maher Zain menusuk telinga. Malangnya kepala masih terasa amat berat. Saya cuba memaksa diri untuk bangun. Akhirnya saya memutuskan untuk menyambung semula mimpi saya sehingga ke waktu subuh kerana pening yang dialami sejak malam tadi masih belum hilang.

Jam 6 pagi, saya dikejutkan oleh isteri. Saya terus bangun dan melakukan persiapan diri sebelum ke tempat kerja. Badan sungguh tidak bermaya. Seluruh urat sendi terasa sengal dan sakit. Namun saya gagahkan juga diri untuk ke tempat kerja.

Semoga keadaan saya akan kembali pulih seperti biasa dan kembali bertenaga. Mungkin apa yang berlaku adalah reaksi badan yang kurang rehat. heehehe...

Wednesday, November 24, 2010

New Career...

Selamat kembali semula ke blog setelah berkurun lamanya aku tidak mengemaskini blog ini. Susah benar untuk menjadi seorang penulis yang beristiqamah. Lebih suka 'bloghop' atau membaca blog-blog lain yang dirasakan berfaedah untuk diri sendiri. Amat menyukai blog individu yang suka menulis pengalaman kehidupan seharian berbanding blog yang hanya memaparkan fakta-fakta which sometimes it's really boring.

Tidak sangka sudah hampir 5 bulan aku berada di dunia pekerjaan baru. Sesuatu yang mencabar tetapi menarik. Mengimbau episod perjalanan silam, aku memulakan kerjayaku sebagai seorang 'Trainee Engineer' disalah sebuah syarikat multinasional. Kerjayaku di syarikat tersebut hanya bertahan selama satu tahun setengah. Aku memutuskan untuk berhijrah ke tempat lain setelah mendapat dua tawaran baru yang juga memberiakan dilema untuk aku memilihnya. Samada meneruskan kerjaya di sektor swasta atau memasuki sektor kerajaan. Pada ketika itu aku memperoleh dua tawaran pekerjaan dari sektor yang berbeza. Satu daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan satu lagi daripada Motorola.

Akhirnya tawaran kerjaya sebagai seorang 'Lecturer' oleh MARA kuterima. Dan bermulalah langkahku meninggalkan kota metropolitan Kuala Lumpur dan berhijrah ke Kuala Nerang, Kedah. Aku ditempatkan di Kolej MARA Kuala Nerang, Kedah dan diberikan tanggungjawab untuk mengajar subjek Fizik kepada pelajar-pelajar matrikulasi dan foundation UniKL. Kerjayaku disana hanya bertahan selama tiga tahun setengah sahaja dan kini aku telah berhijrah ke dunia baru.

Pada tanggal 25 Julai 2010, aku telah melapor diri sebagai seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Jabatan Perkhidmatan Awam dan kini ditempatkan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Bukit Kiara Kuala Lumpur. Alhamdulillah, aku bersyukur kepada Allah swt di atas nikmat melimpah ruah yang dikurniakan oleh-Nya selama ini despite all the challengges throughout my life.

Apa yang penting, aku akan sentiasa berusaha untuk menjadi yang terbaik dan menyerahkan segala-galanya kepada Yang Maha Esa. Aku yakin dengan segala ketentuan-Nya. Setiap cabaran dan dugaan itu sebenarnya adalah ujian untuk menjadikan kita lebih matang dan lebih baik dari sebelumnya. Dan setiap yang berlaku itu tersembunyi 1001 hikmah yang hanya Allah swt sahaja yang mengetahui. Janganlah kita mudah bersangka buruk dengan Allah swt sekiranya kita berhadapan dengan masalah kehidupan yang amat mencengkam. Bersabarlah dan serahkan segala-galanya kepada Yang Maha Mengetahui.

Aku gembira dengan apa yang aku lalui sekarang. Hidup ini sungguh indah bergantung kepada bagaimana kita mentafsir perspektif kehidupan kita ini. Aku akan terus berusaha untuk meletakkan diri pada tahap terbaik, InsyaAllah......

Friday, May 14, 2010

Coretan

Minggu Pengurusan Pelajar Baru (MPPB) 2010/2011 telah berakhir dengan jayanya. Satu majlis perasmian penutupan yang dirasmikan sendiri oleh Pengarah Bahagian Pendidikan Tinggi MARA telah diadakan di Dewan Badlishah bermula jam 9 pagi dan tamat sekitar jam 11.30 pagi. Sempat aku menyaksikan beberapa persembahan yang dibuat oleh kumpulan pelajar yang baru mendaftar. Antara persembahan yang diadakan adalah Nasyid, Koir dan Dikir Barat. Aku sangat teruja dengan semangat yang ditunjukkan oleh para pelajar yang membuat persembahan walaupun masih banyak aspek yang perlu diperbaiki.

Tamat sahaja majlis perasmian penutupan MPPB, semua pensyarah dan staf terus bergegas ke Dataran Pengarah untuk menghadiri Majlis Perpisahan Pengarah BPT MARA yang akan menjawat jawatan baru sebagai Pengarah Bahagian Kemahiran MARA selain meraikan beberapa rakan pensyarah yang akan bertugas ditempat baru. Aku diarahkan untuk menjadi pengacara majlis tersebut. Masih terngiang ditelingaku suara Pengarah KMKN yang memintaku untuk mengendalikan majlis tersebut. Lebih kurang begini bunyinya, "Hello najyasyraf. Esok awak kena jadi pengacara majlis untuk perpisahan Pengarah BPT. Kalau tak nak, sila letak jawatan". Tupp..talian terus dimatikan tanpa aku sempat berkata sepatah perkataan pun. Begitulah Pengarah kolej ku yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Itu memang cara beliau memberi arahan kepada anak buahnya. Tapi hati beliau tidak begitu. Ada banyak perkara yang boleh kita belajar dari cara beliau mentadbir Kolej MARA Kuala Nerang ini sehingga saat ini masih kekal di persada keunggulan dalam melahirkan pelajar-pelajar yang luar biasa baik dari aspek akademik, sahsiah mahupun kokurikulum. Tidak perlu kuterangkan secara terperinci disini.

Aku tidaklah terlalu sibuk dalam mengendalikan minggu orientasi pelajar baru ini. Tetapi aku boleh dikatakan amat sibuk dengan perkara-perkara yang berkaitan pengurusan unit fizik sebagai penyelaras yang baru diberikan amanah dan tanggungjawab. Banyak perkara yang perlu difikirkan dalam merancang pembangunan akademik pelajar dalam subjek fizik. Banyak laporan dan perkara-perkara bersangkutan yang perlu difikirkan dan diselesaikan. Fail-fail perlu disempurnakan sebaik mungkin untuk tujuan audit.

Selain itu aku juga sibuk menyampaikan taklimat Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) kepada pelajar baru serta perlu mengurus dan mengendalikan Pilihanraya JPP bagi memilih wakil-wakil pelajar untuk mengisi kerusi-kerusi EXCO yang telahpun dikosongkan oleh EXCO JPP sesi 2009/2010 sebelum ini. InsyaAllah, kerja-kerja yang bersangkutan dengan pilihanraya akan tamat sekitar hujung bulan Mei 2010 dan KMKN bakal memiliki barisan kepimpinan pelajar baru seawal Jun 2010. Suruhanjaya Pilihanraya Kolej (SPRK) yang dilantik bakal membantuku mengendalikan semua perkara tersebut. Semoga segalanya berjalan lancar tanpa sebarang halangan dan masalah.

Kuliah akan bermula minggu depan iaitu pada 16 Mei 2010. Ini juga memerlukan aku untuk membuat persiapan dan perancangan rapi sebagai tenaga pengajar untuk mendidik dan mengajar para pelajar. Tidak ada istilah rehat sebenarnya dalam kamus hidup seorang guru kerana tugas seorang pendidik itu tidak mudah. Ianya adalah sebahagian daripada tugas Rasul. Terlalu besar amanah dan tanggungjawab yang dipikul demi melahirkan generasi yang berjaya bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat. Pelajar yang datang dari pelbagai Negeri dengan pelbagai budaya dan latarbelakang kehidupan kadangkala amat memeningkan kepala seorang pendidik untuk menguruskannya. Perlu tahu dan faham cara yang sesuai untuk mendekati pelajar kerana setiap pelajar itu adalah berbeza.

Semoga Allah swt memberikan diriku kekuatan dan motivasi untuk menghadapi kehidupan mendatang yang belum pasti. Hanya doa dipanjatkan kepada Ilahi agar segala matlamat dan impian yang dimimpi bakal menjadi realiti. Jangan bercakap soal kejayaan jika takut pada risiko dan halangan. Dunia ini hanyalah persinggahan yang sementara sebelum menuju akhirat yang kekal abadi.

Salam sayang buat semua pelajarku tidak kira dimana anda berada. Berusahalah sekeras mungkin untuk menjadi profesional muslim yang berjaya seterusnya dalam menyumbang bakti kepada agama dan Negara. Anda adalah pencetus perubahan masa hadapan yang gemilang. Jangan sia-siakan masa muda yang ada dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Jika ingin menjadi seorang Doktor, jadilah Doktor yang paling pakar dalam bidang tersebut. Jika ingin menjadi seorang Jurutera, jadilah Jurutera yang paling pakar dalam bidang anda. Ayuh, bangunlah dari lena mimpi yang tidak berkesudahan. Kita sudah tiada masa. Salam ukhuwah dan perjuangan semanis syurga firdausi....

FadhiLaT SOLAT di awaL WakTu....

Artikel ini saya petik dari sebuah blog. Amat menarik untuk dibaca, dihayati seterusnya diamalkan. Semoga kita sama-sama memperoleh manfaatnya serta diberkati oleh Allah swt dunia dan akhirat.....

Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam. Aku rasa fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi, betul tak aid?

Sebagai contoh, pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh..
Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar / rezeki dan komunikasi. Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaanakan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki. Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) – dalam erti kata lain jaga daripada tidur.

Disini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat diawal waktu. Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud. Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.

Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (isyraq & dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor. Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman. Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan. Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak ?

Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif. Rahsia warna oren ialah kreativiti. Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinyadan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu). Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita.

Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah. Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam. Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita. Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.

Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusny a memasuki fasa Kegelapan. Waktu Isyak ini menyimpanrahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak. Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan. Alam sekarang berada dalam kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta dimana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan.

Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus. Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.

Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam. Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya. Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh. Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di’kurniakan’ syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkanbagaimana hendak menyerap tenaga alam ini. Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hambanya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukannya. Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya tapi amat berdisiplin dalam menghadiri kelas taichinya!

Saturday, May 8, 2010

Semester Baru

Aku kembali ke Kolej MARA Kuala Nerang Kedah seawal 5 Mei 2010 bersamaan hari Rabu. Kepulangan yang awal ini adalah disebabkan arahan berpindah ke quarters baru untuk semua felo ekoran kuantiti pelajar baru yang bakal mendaftar pada 9 dan 10 Mei ini berbeza dari sebelumnya. Kali ini bilangan pelajar lelaki dijangka melebihi bilangan pelajar perempuan kerana program yang ditawarkan lebih menjurus kepada Kejuruteraan. Selain itu pada kemasukan kali ini KMKN tidak lagi mengendalikan program matrikulasi sepenuhnya. Program matrikulasi KPM hanya untuk pelajar perakaunan manakala program yang menjurus kepada kejuruteraan dan perubatan ditukar kepada program UniKL yang dikenali sebagai Foundation in Science & Technology UniKL.

Entah kenapa perasaan kali ini berbeza dari sebelumnya. Mungkinkah disebabkan pertukaran program yang menyebabkan kami semua perlu menukar persepsi, cara kerja dan apa-apa sahaja yang perlu bersesuaian dengan program baru yang bakal dikendalikan bermula esok. Terasa semangat yang begitu pudar sepudar pesona cleopatra. Langkah yang diayun begitu longlai sekali. Entah kemana semangat yang pernah berkobar-kobar sebelum ini pergi. Aku termenung jauh dijendela rumahku yang kini menghadap hutan. Kehijauan alam diselang seli kicauan burung dan nyanyian unggas sesekali merentap kerinduanku kepada pelajar-pelajar sebelum ini. Terasa seperti ingin sekali ku memberhentikan putaran jam agar kenangan indah yang pernah tercipta sebelum ini terus statik tidak bergerak menemani perjalanan kehidupanku di bumi KMKN ini. Ahhh...hatiku berbisik. Semua itu hanyalah angan-angan yang mustahil untuk terjadi. Masa akan terus berlalu. Kenangan silih berganti dan kehidupan perlu diteruskan berbekalkan semangat dan azam yang kental. Segala kisah silam yang manis hanya menjadi sejarah yang perlu dikenang.

Semoga Allah swt memberikan diriku kekuatan untuk meneruskan perjuangan mendidik anak bangsa. Semoga semangat yang hilang ini akan kembali semua seindah pelangi yang mewarnai bumi.......

Sunday, April 11, 2010

MenGapa YAHUDI biJak

Oleh : Dr. Stephen Carr Leon

Setelah berada 3 tahun di Israel kerana menjalani housemanship di beberapa hospital disana, ada beberapa perkara yang menarik dapat saya perhatikan untuk dijadikan tesis ini, iaitu ‘Mengapa Yahudi Bijak?

Memang tidak dapat dinafikan ramai cendekiawan berbangsa Yahudi, dari segala bidang seperti kejuruteraan, muzik, saintis dan yang paling hebat ialah bidang perniagaan, di mana ia memang paling tersohor. Hampir 70% perniagaan di dunia dikuasai oleh kaum Yahudi, dari kosmetik, pakaian, pemakanan, senjata, perhotelan, perfileman di Hollywood dan sebagainya.

Ketika tahun kedua, akhir bulan December 1980 dan sedang saya menghitung hari untuk pulang ke California saya terfikir apakah sebabnya kaum Yahudi begitu pintar? Kenapa tuhan memberi kelebihan kepada mereka? Apakah ini suatu kebetulan? Atau olahan manusia sendiri? Adakah kebijaksanaan boleh dijana? Seperti kilang pengeluaran?

Maka saya pun tergerak membuat tesis untuk Phd saya, di samping kebaikan untuk umat sejagat dan dapat hidup secara harmoni. Untuk pengetahuan anda tesis yang saya lakukan ini mengambil masa hampir lapan tahun.Ini kerana untuk mengumpulkan data-data yang setepat mungkin.

Antara data-data yang saya kumpulkan ialah pemakanan, adat resam, agama, persiapan awal untuk melahirkan zuriat dan sebagainya dan data-data tadi saya cuba bandingkan dengan bangsa dan kaum kaum lain.

Marilah kita mulakan dengan persiapan awal melahirkan zuriat.

Di Israel, setelah mengetahui yang sang ibu sedang mengandung, pertama kali saya perhatikan ialah, sang ibu akan sering menyanyi dan bermain piano dan si ibu dan bapa akan membeli buku metamatik dan menyelesaikan masalah metamatik bersama suami, saya sungguh hairan kerana teman saya yang mengandung sering membawa buku metamatik dan bertanya kepada saya beberapa soalan yang beliau tak dapat menyelesaikanya, oleh kerana saya memang minat tentang metamatik, tentu saja dengan senang saya bantu beliau. Saya bertanya kepada beliau, adakah ini untuk anak kamu? Beliau menjawab, ya, ini untuk anak saya yang masih didalam kandungan, saya sedang melatih otak beliau, semoga ia menjadi genius apabila dewasa kelak?Perkara ini membuat saya tertarik untuk mengikut perkembangan beliau seterusnya. Berbalik kepada metamatik tadi, tanpa merasa jenuh beliau membuat latihan metamatik sehingga beliau melahirkan anak.

Seperkara lagi yang saya perhatikan ialah pemakanan beliau, sejak awal mengandung beliau gemar sekali memakan kacang badam dan kurma bersama susu , dan untuk tengah hari makan utama beliau ialah roti dan ikan tanpa kepala bersama salad yang digaul dengan badam dan berbagai jenis kekacang, menurut beliau daging ikan sungguh baik untuk perkembangan otak dan kepala ikan mengandungi kimia yang tidak baik yang dapat merosakkan pengembangan dan penumbuhan otak anak di dalam kandungan. menurut beliau ini adalah adat orang orang yahudi ketika mengandung dan ianya menjadi semacam kewajipan untuk ibu-ibu yang sedang mengandung mengambil pil minyak ikan.

Ketika saya diundang untuk makan malam bersama orang orang Yahudi, perkara pertama yang saya perhatikan ialah menu mereka. Setiap undangan yang saya perhatikan ialah mereka gemar sekali memakan ikan (hanya isi atau fillet) dan biasanya daging tidak akan ada bersama di meja jika ada ikan, menurut mereka, campuran daging dan ikan tak elok dimakan bersama. Salad dan kacang adalah suatu kemestian, terutama badam.

Seperkara yang pelik ialah mereka akan memakan buah-buahan dahulu sebelum memakan hidangan utama. Jangan terperanjat jika anda diundang kerumah Yahudi anda akan dihidangkan buah buahan dahulu. Menurut mereka, dengan memakan hidangan kabohidrat (nasi atau roti) dahulu kemudian buah buahan, ini akan menyebabkan kita merasa ngantuk dan lemah dan payah untuk memahami pelajaran disekolah.

Di Israel, merokok adalah taboo, apabila anda diundang makan dirumah Yahudi, jangan sekali kali merokok, dan tanpa malu mereka akan menyuruh anda keluar dari rumah mereka dan merokok di luar rumah mereka. Menurut saintis di Universiti Israel , siasatan menunjukkan nikotin dapat merosakkan sel utama pada otak manusia dan akan melekat pada genes, ini bermakna keturunan perokok bakal membawa generasi yang cacat otak ( bodoh atau lembab). Suatu penemuan yg dahsyat ditemui oleh saintis yang mendalami bidang genes dan DNA. Para perokok harap ambil perhatian.

Perhatian saya selanjutnya ialah melawati tadika mereka, Pemakanan anak anak tadi cukup dikawal, makanan awal ialah buah buahan bersama kacang badam, diikuti dengan menelan pil minyak ikan (code oil lever) Didalam pengamatan saya, kanak Yahudi sungguh bijak dan rata rata mereka memahami 3 bahasa iaitu Hebrew, Arab dan Inggeris dan sedari awal lagi mereka telah dilatih bermain piano dan violin, ini adalah suatu kewajipan. Menurut mereka bermain musik dan memahami nota-notanya dapat meningkatkan lagi IQ kanak kanak dan sudah tentu bakal menjadikan budak itu bijak.Ini menurut saintis Yahudi, gegaran musik dapat stimulate (semacam senaman untuk otak) maka itu terdapat ramai sekali genius muzik terdiri dari kaum Yahudi.

Seterusnya ke darjah 1 hingga 6, anak anak Yahudi akan diajar metamatik berkonsepkan perniagaan dan pelajaran sains amatlah diberi keutamaan. Di dalam perhatian peribadi saya, perbandingan dengan anak-anak di California , ianya jauh berbeza tentang IQ dan boleh saya katakan 6 tahun kebelakang! Segala pelajaran akan dengan mudah di tangkap oleh anak Yahudi. Selain dari pelajaran tadi sukan juga menjadi kewajipan bagi mereka dan sukan yg diberi keutamaan ialah memanah, menembak dan berlari, menurut teman saya ini, memanah dan menembak dapat melatih otak memfokus sesuatu perkara di samping mempermudahkan persiapan untuk perhidmatan negara

Selanjutnya pemerhatian saya menuju ke sekolah tinggi (menengah) disini murid murid ditekan dengan pelajaran mata sains dan mereka digalakkan mencipta produk, segala projek mereka walaupun kadangkala kelihatannya lucu dan mengarut, tetap diteliti dengan serius apatah lagi ianya berupa senjata, perubatan dan kejuruteraan, idea itu akan dibawa ke institut tinggi di Politeknik dan Universiti.

Satu lagi yang di beri keutamaan ialah fakulti perniagaan. Saya sungguh terperanjat melihat mereka begitu agresif dan seriusnya mereka tentang perniagaan. Di akhir tahun di universiti, para penuntut di bidang niaga dikehendaki melakukan projek dan mempraktikkanya dan anda hanya akan lulus jika kumpulan anda(10 pelajar setiap kumpulan) mendapat keuntungan sebanyak $US1juta! Anda terperanjat? Itulah kenyataan, dengan rangkaian seluruh dunia dan ditaja sepenuhnya oleh syarikat milik Yahudi, maka tidak hairanlah mereka dapat menguasai perniagaan didunia! Siapakah yg mencipta design Levis yang terkini? Ianya dicipta di Universiti Israel oleh pelajar Fakulti Bisnes dan Fesyen.

Pernahkah anda melihat cara orang Yahudi melakukan ibadah mereka? Salah satu caranya ialah dengan menggoyangkan kepala mereka, menurut mereka ini dapat mengaktifkan otak mereka dan menambahkan oksigen di kepala, banyak agama lain di Timur Tengah, seperti Islam juga ada menyuruh umatnya menunduk atau menggoyangkan kepala, ini guna dapat mensimulasikan otak kita supaya bertambah aktif. Lihat orang orang Jepun, mereka sering menunduk-nundukkan kepala dan ianya sebagai adat. Ramai orang orang Jepun yang pandai? Adakah ianya sebagai kebetulan? Kegemaran mereka ialah sushi (ikan mentah). Adakah ini kebetulan? Fikirkanlah!

Berpusat di New York, Dewan perniagaan Yahudi bersedia membantu mereka yang berminat untuk melakukan bisnes (sudah tentu untuk Yahudi sahaja) jika mereka ada idea yang bernas, jawatan kuasa akan memberi pinjaman tanpa faedah dan pentadbir dari jawatan kuasa tadi akan bekerjasama dengan anda untuk memastikan yg perniagaan mereka menurut landasan yg betul. Maka itu lahirlah Starbuck, Dell computer, Coca Cola, DKNY, Oracle, Perfileman di Hollywood, Levis, Dunkin Donut dan ada beratus kedai ternama dibawah naungan dewan perniagaan Yahudi di New York. Graduan Yahudi dari Fakulti Perubatan New York akan disarankan untuk mendaftar di persatuan ini dan digalakkan memulakan klinik mereka sendiri dengan bantuan wang tanpa faedah, barulah saya tahu mengapa hospital di New York dan California sentiasa kekurangan doktor pakar.

Kesimpulannya, pada teori saya, melahirkan anak dan keturunan yang bijak boleh dilaksanakan dan tentunya bukan semalaman, ianya memerlukan masa, beberapa generasi mungkin. Persiapan awal adalah ketika sang ibu mengandung, galakkanlah si ibu melakukan latihan metamatik yang mudah tetapi konsisten di samping mendengar musik klasik. Seterusnya ubahlah cara pemakanan, makanlah makanan yang elok dan berhasiat yang baik untuk otak, menghayati muzik sejak kecil adalah baik sekali untuk pertumbuhan otak kanak-kanak, dengan bermain piano dan violin sudah tentu dapat melatih anak anak mencerdaskan otak mereka demikian juga sukan yang memerlukan konsetrasi yang tinggi, seperti memanah, bola keranjang, dart dan menembak.

Merokok menjanjikan generasi yang bodoh dan sudah tentu genes bodoh akan mengikut ke generasi si perokok. Lawatan saya ke Singapura pada tahun 2005 amat memeranjatkan sekali, di sini perokok seperti dianak tirikan dan begitu susah sekali untuk perokok dan anda tahu berapa harga sekotak rokok? US$ 7 ! Ini bersamaan perbelanjaan sehari untuk makan anda!! Saya puji sekali sikap pemerintah Singapura dan menakjubkan sekali! dan seperti Israel ianya begitu taboo dan cara pentadbiran dan segi pembelajaran mereka hampir serupa dengan Israel , maka itu saya lihat banyak institusi pelajaran mereka bertaraf dunia walaupon hakikat nya negeri Singapura hanyalah sebuah pulau sebesar Manhattan !!

Anda mungkin musykil, benarkah merokok dapat melahirkan generasi goblok, saya telah menemui beberapa bukti menyokong teori ini. Lihat saja Indonesia , jika anda ke Jakarta , di mana saja anda berada, dari restoran, teater, kebun bunga hingga ke muzium hidung anda akan segera terbau asak rokok! Dan harga rokok? Cuma US$ .70 !!! dan hasilnya? Dengan penduduknya berjumlah jutaan orang berapa banyak kah universiti terdapat disana? Hasil apakah yg dapat dibanggakan? Teknologi? Jauh sekali. Adakah mereka dapat berbahasa selain dari bahasa mereka sendiri? Mengapa mereka begitu sukar sekali menguasai bahasa Inggeris? Di tangga berapakah kedudukan mereka di pertandingan metamatik sedunia? Adakah ini bukan akibat merokok? Anda fikirlah sendiri.

Di tesis saya ini, saya tidak akan menimbulkan soal agama atau bangsa, adakah Yahudi itu zalim sehingga diusir dari semenjak zaman Firaun hingga ke Hitler, bagi saya itu isu politik dan survival, yang ingin saya ketengahkan ialah, mampukah kita dapat melahirkan generasi yang bijak seperti Yahudi? Jawapanya ialah mungkin dan tidak mustahil dan ianya memerlukan perubahan, dari segi pemakanan dan cara mendidik anak dan saya kira hanya memerlukan 3 generasi sahaja. Ini dapat saya lihat sendiri tentang cucu saya, ini setelah saya mengajar anak saya melalui program yg telah saya nyatakan diatas tadi, pada umur 9 tahun (cucu saya) dia dapat menulis esai sepanjang 5 mukasurat penuh. Esainya hanyalah mengenai Mengapa saya gemarkan tomato!

Selamat sejahtera dan semuga kita dapat melahirkan manusia yg bijak dan bersifat mulia untuk kebaikan manusia sejagat tanpa mengenal batasan bangsa.

Sunday, April 4, 2010

FinaL ExaM

"Orang yang terbaik adalah orang yang pernah jatuh dan belajar dari kejatuhannya lalu bangkit untuk menjadi lebih baik dari sebelumnya"

Kegagalan bukanlah penamat segalanya. Kegagalan sebenarnya adalah kejayaan yang tertangguh. Penangguhan kejayaan itu mungkin disebabkan oleh perkara yang berpunca dari diri kita sendiri atau mungkin juga berupa ujian dari Allah s.w.t yang hendak menguji keimanan dan ketaqwaan hamba-hambanya.

Setiap yang berlaku dalam kehidupan kita terkandung hikmah dan pengajaran yang amat bermakna dari Allah s.w.t. Kadangkala ujian, dugaan dan cabaran yang kita hadapi sehari-harian sebenarnya adalah satu proses untuk menjadikan kita manusia yang unggul bukan sahaja didunia bahkan jua diakhirat. Tetapi semua itu bergantung kepada bagaimana kita mentafsir setiap kejadian yang berlaku ke atas diri kita. Sekiranya kita meletakkan sepenuh pergantungan kepada Allah s.w.t, nescaya kita akan melihat serta mentafsir setiap apa yang berlaku samada baik atau buruk dari sudut yang positif sekaligus menjadikan kita seorang yang memiliki kepercayaan diri yang tinggi bertitik tolak dari kepercayaan dan pergantungan kita yang juga tinggi kepada Allah s.w.t.

5 April 2010, para pelajar matrikulasi akan menghadapi Peperiksaan Akhir Semester II (PSPM II) yang akan menentukan destinasi dan kursus yang bakal mereka ambil di universiti selepas ini. Semoga segala usaha bersungguh yang telah dicurahkan selama ini akan membuahkan hasil yang bermakna. Perbanyakkanlah doa kepada Allah kerana Dialah yang menentukan segalanya. Bermohonlah agar segala usaha yang telah dilakukan akan diberkati oleh-Nya dan dipermudahkan serta diberi ketenangan bagi menghadapi PSPM II yang bakal bermula esok. Yakinlah kepada ketentuan Allah dan sentiasalah bertawakkal kepada-Nya. Sebagai tenaga pendidik, saya hanya mampu berdoa dan berharap agar semua pelajar akan mampu mencipta kejayaan yang cemerlang. Kejayaan yang semakin mendekatkan diri kita kepada Allah s.w.t.

"Aku meminta kepada Tuhan setangkai bunga segar. Ia beri kaktus berduri. Aku minta kupu-kupu, diberinya ulat bulu. Aku sedih dan kecewa. Namun kemudian kaktus itu berbunga inda sekali dan ulat itupun menjadi kupu-kupu yang sangat cantik. Itulah jalan Tuhan, indah pada masanya. Tuhan tidak memberi apa yang kita harapkan. Tapi dia memberi apa yang kita perlukan. Kadangkala kita sedih, kecewa dan terluka. Tapi jauh diatas segalanya, Dia sedang mengatur yang terbaik buat kita."